FAIROL melihat keadaan isterinya yang masih dan tidak sempat melihat anak bongsu kini berusia 53 hari. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi


“SAYA mengharapkan keajaiban akan berlaku dan apabila isteri sedar nanti dia boleh menyusukan anak kami,” kata Fairol Haziri Rahim, 44, suami kepada Kamareeah Arwae, 36, yang melahirkan anak bongsu mereka dalam keadaan koma.

Fairol berkata, doktor memberi jaminan Kamareeah akan sembuh satu hari nanti, namun tidak dapat memberi tempoh berapa lama isterinya yang terlantar itu akan kembali pulih.

“Lebih menyedihkan, sejak Farah Hanis lahir dan kini berusia 53 hari, dia hanya bergantung sepenuhnya kepada susu formula khas untuk bayi pra matang kerana isteri tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu untuk menyusukan bayi kami seperti dilakukan sebelum ini kepada anak sulung, Farras Hazim berusia 19 bulan.

“Selepas isteri koma, Farras terus terputus susu ibu dan sejak itu dia enggan minum susu formula.

“Hati saya sebak melihat anak bongsu yang baru dilahirkan membesar tanpa belaian seorang ibu dan perasaan gembira kami menyambut orang baru bertukar pilu,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman SL Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, semalam.

Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan usahawan Datuk Zhafran Yusof yang turut ditemani isterinya yang juga seorang pelakon, Datin Fouziah Gous untuk menyelami dan melihat sendiri keadaan Kamareeah serta anak bongsunya yang dilahirkan pra matang.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Kamareeah yang terlantar akibat ketumbuhan di kepala sejak tujuh bulan lalu melahirkan Farah secara pembedahan ketika berada dalam keadaan koma.

Menurut Fairol, selepas kisah sedihnya itu tular di media sosial selain mendapat liputan akhbar, ramai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) ke rumah dan menyerahkan sumbangan untuk meringankan bebannya.

“Alhamdulillah, kos membeli lampin pakai buang dan susu kepada isteri serta anak bongsu dapat dijimatkan apabila ada pihak yang menyumbang barangan berkenaan untuk mereka.

“Sumbangan diberikan cukup besar maknanya kepada saya, lebih-lebih dalam keadaan saya sudah tidak boleh bekerja kerana perlu menguruskan isteri sepanjang masa.

“Sejak isteri terlantar, hanya saya seorang menjaganya termasuk menukar lampin pakai buang, mengelap tubuh badan, memberi susu khas melalui wayar yang dipasang di hidungnya sehingga membersihkan wayar di bahagian leher yang ditebuk,” katanya.

Katanya, memandangkan dia perlu menguruskan keperluan isteri, buat sementara waktu, Farah dijaga sepupunya yang tinggal berjiran.

“Sebelum ini saya menerima beberapa panggilan daripada individu mahu mengambil Farah sebagai anak angkat, namun saya tidak bersetuju kerana biar sesukar mana, saya tidak akan berpisah dengan anak,” katanya.

Sementara itu, Zhafran berkata, sudah lima tahun dia dan isterinya melakukan kerja amal dengan menziarahi keluarga memerlukan selain menghulurkan sumbangan kepada mereka yang berada di sekitar pantai timur sejak kejadian bah kuning di Kelantan pada 2014.

“Bagaimanapun dalam banyak kes yang pernah kami lawati, keajaiban berlaku terhadap Kamareeah yang melahirkan anak bongsunya dalam keadaan koma selepas tular membuatkan saya dan isteri benar-benar ingin bertemu dengan keluarga ini.

“Alhamdulillah, perbincangan bersama sahabat yang tinggal di Kelantan memudahkan kami mencari keluarga ini dan berpeluang melihat sendiri keadaan Kamareeah serta anaknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 9:18 AM