ORANG ramai membantu guru yang cedera selepas disamun.
Nur Saliawati Salberi


PADAH menyamun guru wanita, seorang lelaki dicekup polis tidak sampai dua jam selepas melakukan jenayah itu di parkir sebuah pusat beli belah di Jalan Panglima Awang, Melaka, petang semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 3.15 petang, mangsa berusia 30 tahun dikatakan baru keluar dari premis dan menuju ke kenderaannya sebelum didatangi suspek.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, sebaik tiba di kenderaannya mangsa diacukan sebilah pisau oleh lelaki terbabit.

“Suspek kemudian mengambil beg tangan mangsa dan melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Perodua Axia.

“Saksi yang kebetulan melihat kejadian cuba mengejar kereta dinaiki suspek, namun tidak berjaya tetapi berjaya mengenal pasti kenderaan berkenaan,” katanya.

Afzanizar berkata, akibat kejadian itu, mangsa yang mengalami kecederaan di jari kanan dan lengan kiri dibawa menaiki ambulans ke hospital bagi menerima rawatan.

Beliau berkata, kira- kira jam 5 petang, sepasukan polis berjaya menahan suspek berusia 25 tahun di sebuah rumah di Batu Berendam.

“Suspek adalah pemilik kenderaan dan polis turut merampas beg tangan dipercayai milik mangsa.

“Selain beg tangan, turut dirampas telefon bimbit, beg duit, dokumen pengenalan diri dan kad bank serta wang tunai kira-kira RM450,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 9:40 AM