MANGSA yang cedera selepas dihempap pokok ditebangnya. FOTO IHSAN JBPM
Zuliaty Zulkiffli


WARGA emas cedera di muka dan tangan selepas dihempap pokok yang ditebang di kebunnya di Taman Merbau, Tikam Batu, Sungai Petani, semalam.

Dalam kejadian jam 5.15 petang, mangsa Abdul Rahim Ahmad, 61, dikatakan sedang membersihkan kebunnya dengan menebang pokok itu.

Bagaimanapun, pokok berkenaan menghempap dirinya hingga mengakibatkan kecederaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.26 petang berhubung kejadian itu.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu segera dikerah ke lokasi dan tiba jam 5.29 petang.

“Setibanya di lokasi, bomba mendapati mangsa dihempap sebatang pokok ditebangnya mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di muka dan tangan.

“Bomba kemudiannya mengalihkan pokok dan memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 10:20 AM