Laporan portal berita Harian Metro semalam.
Raja Noraina Raja Rahim


PENGERUSI Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon mengutuk perbuatan keji lelaki warga emas yang mencabul kanak-kanak perempuan di dalam kereta.

Beliau berkata, lelaki itu perlu dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal.

“Saya rasa ini hanya permulaan, saya percaya pesalah seks sepertinya adalah pesalah berulang.

“Saya menggesa individu lain yang mungkin pernah menjadi mangsa lelaki itu tampil membuat laporan.

“Saya juga menyeru ibu bapa supaya memastikan anak masing-masing berada dalam keadaan selamat.

“Galakkan mereka memberitahu kita jika berlaku sesuatu yang tidak selesa atau luar daripada kebiasaan,” katanya dalam kenyataan di Seremban hari ini.

Menurut Nicole, ibu bapa perlu mendidik anak mengenai sentuhan yang dibolehkan seperti bersalaman dan mendidik mereka bagaimana mengelak apabila berdepan gangguan seksual.

Harian Metro hari ini melaporkan, lelaki warga emas yang tular di laman sosial Facebook melakukan gangguan seksual dan mencabul kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ditahan polis kelmarin.

Pemandu lori berusia 65 tahun itu ditahan di Lebuhraya Utara Selatan dekat Gopeng, Perak, 9.20 malam.

Penahanan itu susulan laporan dibuat ibu mangsa berusia 49 tahun selepas melihat video tular yang memaparkan anak perempuannya dipaksa melakukan kelucahan melampau oleh suspek di dalam kereta.

Berita berkaitan

Atok miang ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 3:05 PM