Pegawai penguat kuasa memeriksa simpanan bahan mentah dalam peti sejuk di sebuah restoran dalam Operasi Penang Sihat di Lebuh Chulia, Georgetown. Foto Ihsan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang
Zuhainy Zulkiffli
am@metro.com.my


LANTAI dapur dipenuhi darah ayam antara kesalahan yang dikesan di sebuah restoran terkenal dalam Operasi Penang Sihat yang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut (PKDTL) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sekitar Lebuh Chulia dan Lebuh Pasar di Georgetown, semalam.

Berikutan itu, restoran berkenaan diberi notis penutupan selama 14 hari berkuat kuasa semalam hingga 23 Julai ini.

Dapur restoran yang terkenal dalam kalangan pengunjung tempatan dan luar negara itu juga didapati tercemar dengan najis tikus berikutan kawalan makhluk perosak yang tidak efektif.

Jurucakap PKDTL berkata, restoran terkenal itu antara tiga premis yang menerima notis penutupan berikutan tidak mencapai tahap kebersihan ditetapkan.

Menurutnya, pemeriksaan di restoran kedua pula mendapati pemilik premis menggunakan peti sejuk berkarat bagi menyimpan bahan makanan selain tidak melabel bekas makanan seperti ditetapkan.

“Bahan mentahnya iaitu ayam pula didapati dibiarkan terdedah selain menggunakan papan pemotong yang tidak sesuai.

“Tong sampah juga tidak tertutup dan pengendali di kesemua restoran tiada peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap ketika bekerja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, pemeriksaan di premis ketiga pula mendapati terdapat najis lipas dalam tempat penyimpanan makanan selain lantai dapurnya yang kotor dan basah.

“Bahan mentah iaitu ikan pula didapati dibiarkan terdedah di dapur premis terbabit,” katanya.

Sebanyak 10 premis diperiksa menerusi operasi itu dan empat notis dikeluarkan membabitkan tiga kesalahan premis tanpa lesen serta pembinaan tandas haram (satu).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 3:36 PM