MOTOSIKAL jenis Suzuki ditinggalkan pencuri ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di Kampung Sungai Pulai. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


SEORANG lelaki dipercayai penjenayah lari lintang pukang selepas dikejar penduduk kampung ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di Kampung Sungai Pulai, Sabak Bernam, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah malam, suspek lelaki dilihat berlegar-legar di sekitar rumah mangsa sebelum kelibatnya dilihat beberapa penduduk kampung.

Seorang penduduk, Mohd Nazri Yusof, 36, berkata ketika kejadian dia bersama dua rakannya dalam perjalanan pulang selepas menjamu selera di kedai makan tidak jauh daripada rumah yang turut didiami ibunya.

Menurutnya, dia kemudian menerima panggilan telefon daripada adik lelakinya mengatakan seorang lelaki berada dalam keadaan mencurigakan di sekitar rumah itu.

“Saya dan rakan bergegas ke rumah mak menaiki kereta dan setibanya di sana, kami melihat penduduk kampung mengejar suspek yang berlari ke arah kebun kelapa sawit.

“Malangnya, suspek berjaya melarikan diri dan kami tidak sempat menahannya,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Nazri berkata, penduduk kampung turut menemui sebuah motosikal jenis Suzuki dipercayai dinaiki suspek yang ditinggalkan kira-kira 20 meter dari rumah ibunya.

“Selain motosikal, penduduk kampung turut menjumpai buka nota dan beg sandang di tempat simpanan motosikal berkenaan.

“Kami menemui nota tulisan tangan dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa kes kecurian yang dilakukan suspek sebelum ini,” katanya.

Katanya, penduduk kampung tidak menolak kemungkinan suspek dipercayai terbabit dalam beberapa kes pecah rumah sekitar kampung ini sejak minggu lalu.

“Saya dan rakan mengesyaki suspek tahu selok belok kampung ini berikutan banyak kes yang dilaporkan berlaku,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menyiasat dakwaan penduduk terbabit.

“Sehingga kini polis masih belum menerima laporan dibuat penduduk kampung, namun akan menjalankan siasatan bagi memberkas suspek,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 4:00 PM