Dr Mohd Daud dilantik Presiden UIAM kelapan mulai 1 Julai lalu. FOTO Hafiz Sohaimi
BERNAMA

TOKOH kewangan Islam Datuk Dr Mohd Daud Bakar dilantik Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kelapan selama tiga tahun berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Menurut kenyataan UIAM hari ini, pelantikan Mohd Daud yang juga bekas Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) universiti itu mendapat perkenan Ketua Perlembagaan UIAM, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Dengan pelantikan ini, beliau boleh memberi khidmat nasihat dalam pembangunan UIAM ke arah menjadikan universiti ini dihormati masyarakat dalam negara dan antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Mohd Daud adalah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) selain menganggotai badan penasihat syariah di institusi kewangan Islam dalam dan luar negara.

Beliau juga pengasas sebuah syarikat khidmat nasihat kewangan Islam selain pernah menerima anugerah Tokoh Perdana sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada 2014.

“Beliau berpengalaman luas mengenai persekitaran UIAM kerana pernah menjadi pensyarah universiti itu,” kata kenyataan itu.

UIAM turut menyampaikan penghargaan kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang menerajui UIAM sebagai presiden ketujuh institusi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 4:22 PM