Nur Izzati Mohamad


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang melupuskan pelbagai barangan bernilai lebih RM3.417 juta membabitkan 147 kes selesai dijatuhi hukuman dan pemiliknya dikenakan kompaun.

Jumlah itu direkodkan bermula dari awal Januari hingga Jun lalu dan akan bertambah mengikut siri pelupusan diadakan pada setiap bulan.

Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pelbagai barangan dilupuskan antaranya beg tangan wanita pelbagai jenama antarabangsa, dompet, tali pinggang, jam tangan, aksesori telefon bimbit, tong ais dan paip penyambung gas.

“Selain itu, kami turut melupuskan barangan kes membabitkan makanan dan minuman ringan tiruan serta 4,759 unit katrij dan toner tiruan berjumlah lebih RM1.762 juta.

“Sepanjang tempoh enam bulan ini, secara keseluruhannya kami sudah melupuskan pelbagai jenis barangan kes membabitkan nilai lebih RM3.417 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDNHEP negeri di Bukit Mertajam, hari ini.

Beliau berkata, semua barangan dilupuskan termasuk dari cawangan Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara.

Menurutnya, tindakan pelupusan dilakukan apabila kes dibicarakan di mahkamah sudah selesai diambil tindakan bagi semua peringkat.

“Proses pelupusan ini akan berjalan secara berterusan dari semasa ke semasa.

“Semua barangan kes yang dilupuskan itu menyalahi Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 1:41 AM
MOHD Ridzuan (dua dari kanan) memotong jersi tiruan yang dilupuskan selepas sidang media di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDNHEP Pulau Pinang di Bukit Minyak, Bukit Mertajam, semalam. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.