SAUBIAH dan Masdi menerima kunjungan Gopalakrishnan sambil disaksikan Pengarah Perkeso Negeri Johor, Tong Sing Chuan di Taman Kota Masai.
Mary Victoria Dass


PASIR GUDANG: “Muhamad Nazrul anak yang bertanggungjawab dan selama 21 tahun dipinjamkan Allah, dia banyak membantu keluarga terutama menjaga bapanya yang sakit jantung,” kata Saubiah Bujang, 52.

Saubiah berkata, dia dan keluarganya masih sedih dengan kehilangan anak ketiga daripada empat beradik, Muhamad Nazrul Masdi, 21, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 4 Julai lalu.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika arwah dalam perjalanan ke tempat kerja di kawasan perindustrian Pasir Gudang dari rumah keluarga di Jalan Mangga 17, Taman Kota Masai.

Katanya, dia bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta sejak dua bulan lalu sebelum meninggal dunia.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara namun kadang-kadang dia meletakkan motosikalnya di rumah rakan di kawasan berhampiran.

“Mungkin ia bagi mengelakkan kami menyedari bahawa motosikal arwah ditampal dengan pelekat ‘mati itu pasti.’

“Kami difahamkan sahabatnya dia sendiri menampal pelekat itu di motosikalnya seminggu sebelum kejadian,” katanya ketika menerima kunjungan daripada Skuad Ziarah Perkeso.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, S Gopalakrishnan yang menyampaikan cek faedah pengurusan mayat kepada keluarganya.

Saubiah berkata, arwah yang masih bujang sepatutnya meraikan ulang tahun hari kelahiran ke-21 pada 30 Oktober depan.

“Walaupun arwah sudah tiada, caruman di Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) Muhamad Nazrul membolehkan saya dan suami menerima pencen penakat RM850 setiap bulan selain faedah pengurusan jenazah.

“Alhamdullilah saya bersyukur kerana ia sedikit sebanyak dapat menampung keperluan kami.

“Sebagai ibu bapa walaupun sedih dan pilu dengan pemergian arwah, kami reda dengan kejadian ini,” katanya.

Menurutnya, mereka tidak bercadang menjual motosikal arwah sebaliknya mahu membaik pulihnya dan digunakan ahli keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 6:01 AM