PENDUDUK Kampung Empa menggunakan jambatan untuk melakukan aktiviti harian.
Noorazura Abdul Rahman


ALOR SETAR: Kerja membaik pulih jambatan di Kampung Empa, Pokok Sena akan dilakukan segera, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat selepas mendapat laporan terperinci daripada Pejabat Daerah Pokok Sena.

Katanya, beliau akan mengarahkan pejabat daerah terbabit untuk membuat pemeriksaan secepat mungkin bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Kita akan minta Pejabat Daerah Pokok Sena untuk melihat keadaan sebenar jambatan berkenaan sebelum kerja baik pulih dilakukan.

“Kerajaan negeri akan mohon peruntukan daripada kerajaan persekutuan atau kita tengok dalam bajet sendiri (kerajaan negeri).

“Saya akan minta pejabat daerah periksa segera,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Aman, di sini.

Mukhriz dalam pada itu turut menyatakan kebimbangannya mengenai aduan penduduk Kampung Empa berikutan keadaan itu berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan mengambil sikap menunggu sehingga berlaku perkara tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 6:30 AM