KEADAAN lengang di kawasan perniagaan Jeti Merang.
Nurul Fatihah Sulaini


PERMAISURI: Beberapa peniaga yang menjalankan perniagaan di kompleks niaga Jeti Merang buntu mengenangkan masa depan mereka ekoran kunjungan pelancong makin merosot sejak kebelakangan ini.

Tinjauan di kawasan terbabit mendapati hanya lima lot kedai daripada 30 lot disediakan beroperasi selebihnya dibiarkan kosong tanpa bertuan.

Salah seorang peniaga yang hanya dikenali sebagai Ita berkata, keadaan itu semakin ketara selepas sambutan hari raya Aidilfitri dan berterusan hingga kini.

“Pernah ada hari tertentu kami pulang dengan tangan kosong walaupun buka kedai setiap hari sejak dari awal pagi dan tutup sekitar jam 3 petang.

“Dalam setahun kami hanya beroperasi lapan bulan dan selebihnya ditutup kerana musim tengkujuh bot tidak boleh masuk pulau kerana ombak bergelora,” katanya ketika ditemui di Jeti Merang.

Katanya, dia mula mengusahakan perniagaan menjual pakaian di jeti itu sejak 10 tahun lalu dan sambutan semakin berkurangan disebabkan tidak ramai pelancong menggunakan jeti Merang untuk ke Pulau Redang, Pulau Lang Tengah dan Pulau Bidong.

“Masa awal dulu berniaga di sini, rasa suka apabila setiap hari ramai orang yang baru balik dari pulau akan singgah ke gerai saya untuk membeli cenderamata sebelum bertolak balik ke tempat mereka.

“Sekarang jumlah pelancong berkurang apabila ada yang memilih untuk naik bot di jeti persendirian berhampiran kawasan ini,” katanya.

Katanya, dia tiada pilihan dan terus bertahan berniaga di situ kerana itu adalah sumber utama mata pencarian.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Mohd Iskandar Muhammad Aziz berkata, pihaknya mengadakan satu pertemuan antara pengusaha bot serta peniaga di situ dijangka Ogos ini bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 7:30 AM