ANGGOTA PPM menemui rokok seludup di sebuah premis perniagaan runcit di Gelang Patah.
Mohd Sabran Md Sani


JOHOR BAHRU: Sindiket rokok seludup umpama kering idea apabila masih menggunakan taktik menyorokkan stok rokok di bawah rak barang.

Dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Gelang Patah, kelmarin, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merampas 178 karton rokok pelbagai jenis bernilai RM10,735.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, serbuan hasil maklumat orang awam dan risikan yang dilakukan ke atas premis berkenaan.

“Hasil siasatan, rokok seludup itu disorokkan di sebalik rak jualan bertujuan mengaburi pihak berkuasa yang sering menyasarkan operasi di stor atau lokasi tersorok.

“Rokok berkenaan hanya dikeluarkan apabila ada pesanan daripada pelanggan membabitkan peniaga kedai runcit, pasar mini dan kedai makan di kawasan Gelang Patah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, sindiket rokok berkenaan masih menggunakan khidmat budak upahan atau pengedar kawasan untuk mengagihkan stok.

“Siasatan mendapati budak suruhan atau orang upahan ini akan menghantar stok menggunakan motosikal dan kereta mengikut lokasi ditetapkan.

“Taktik menggunakan budak upahan ini didapati antara kaedah mudah sindiket bagi mengelak dihidu pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, sindiket juga kini semakin bimbang mengedar rokok seludup berikutan tindakan agresif penguat kuasa melakukan tangkapan dan rampasan.

“Bahkan stok semasa di premis juga mula diletakkan secara kecil dan dijual secara berhati-hati,” katanya.

Menurutnya, dalam serbuan itu seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai penjaga premis perniagaan berusia 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Rampasan dan tangkapan dibawa ke markas PPM W2 Johor untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

“Pada masa sama, kami cuba menggesa pemilik premis membantu siasatan berhubung penemuan rokok seludup di premis miliknya itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 8:01 AM