Norzakiman (dua dari kanan) bersama jemaah masjid menunjukkan model Kompleks Masjid Al-Mukminin Sri Cemerlang yang akan dibina. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


IMPIAN penduduk di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu untuk menunaikan solat Jumaat di kawasan mereka bakal tercapai apabila Kompleks Masjid Al-Mukminin Sri Cemerlang akan dibina tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Mukminin, Datuk Norzakiman Othman berkata, kompleks itu bakal menampung 8,000 jemaah dalam satu masa selain turut dilengkapi dewan serbaguna.

Katanya, pembinaan kompleks itu akan dijalankan tahun depan membabitkan kos RM3.5 juta.

“Ketika ini kami perlu mengumpulkan dana 25 peratus daripada kos pembinaan yang akan bermula tahun hadapan.

“Kami yakin dengan kerjasama semua pihak, sekurang-kurangnya RM500,000 dapat dikumpulkan dalam tempoh enam bulan dan berharap hasrat murni ini dapat dijayakan hasil sumbangan orang ramai,” katanya.

Katanya, dengan pembinaan kompleks itu ia secara tidak langsung memudahkan penduduk sekitar menunaikan solat Jumaat.

“Sebelum ini penduduk menunaikan solat Jumaat di Masjid Muhammadi kira-kira dua kilometer dari kediaman mereka,” katanya.

Katanya, sebelum pembinaan kompleks itu, pihaknya pernah mengadakan majlis jamuan laksa bagi mengisi dana untuk pembinaan tahun lalu.

“Mungkin ramai tidak mengetahui di sebalik 20 unit rumah setinggan yang musnah terbakar di Jalan Sri Cemerlang di sini 29 September lalu, wujudnya masjid lama yang menjadi satu-satunya bangunan terselamat.

“Hasil sumbangan orang ramai kami berjaya membeli semua lot tanah bernilai RM1.8 juta dan masjid baru sudah siap dibina menggantikan masjid yang sebahagian dindingnya hangus dan di atas tapak ini juga kompleks masjid akan dibina,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 11:49 AM