FOTO Hiasan


KERAJAAN negeri mengkaji mewujudkan zon merokok di semua lokasi tumpuan sebagai usaha mengekalkan tahap kebersihan di kawasan terbabit.

Ia termasuk pusat pelancongan dan riadah, dewan orang ramai, restoran, gerai makan serta pusat komersial yang dikunjungi orang ramai.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta menilai kesesuaian cadangan berkenaan sebagai usaha mengawal kebersihan negeri.

“Mengambil contoh di beberapa negara maju seperti Singapura dan Filipina, langkah mewujudkan zon merokok ini dapat mengawal kebersihan di samping mewujudkan disiplin dalam kalangan perokok.

“Ketika ini penguatkuasaan kita masih longgar, kawasan awam masih lagi menjadi tempat merokok secara terbuka.

“Walaupun kita membuat zon larangan merokok tetapi kita harus menyediakan juga tempat khas untuk merokok di lokasi tertentu,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Negeri di Seri Negeri hari ini.

Sementara itu, Adly berkata, kerajaan negeri menyediakan insentif khas kepada kakitangan awam di setiap agensi yang mencapai sasaran 100 peratus kutipan hasil tahun ini.

Katanya, ia termasuk pegawai serta penjaga kaunter yang dilihat antara individu bertanggungjawab memungut cukai mewakili agensi masing-masing.

“Antara insentif itu termasuklah lawatan ke luar negara sebagai usaha memberi motivasi kepada mereka serta kakitangan lain supaya meningkatkan prestasi kerja.

“Kita meletakkan Indeks Prestasi Utama (KPI) kepada semua kakitangan agensi berkenaan dan jika mereka berjaya mencapai sasaran, kita akan memberi insentif terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 12:20 PM