Suzaini (tengah) menerima sumbangan daripada Husain (tiga dari kiri) ketika rombongan NSTP menziarah rumah mangsa di Sungai Buaya. FOTO Mahzir Mat Isa
Amir Abd Hamid


WALAUPUN sayu persiapan nikah hangus, namun majlis itu tetap diteruskan seperti dirancang 31 Ogos ini.

Menganggap kebakaran rumahnya di Sungai Buaya, Rawang itu sebagai dugaan awal menjelang pernikahan mangsa, Suzaini Jusoh, 49, berkata, dia reda dengan apa yang berlaku.

Dalam kejadian 2.30 petang Rabu lalu, bahagian hadapan dan rumah mangsa rosak akibat kebakaran itu.

“Ketika kejadian saya berada di Parlimen kerana bertugas menghantar majikan ke sana.

“Kira-kira 3 petang saya dapat mesej WhatsApp daripada anak rumah kami terbakar,” katanya yang bekerja sebagai pemandu di The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Balai Berita Bangsar.

Bapa tunggal itu bersyukur semua lima anaknya iaitu Nurul Khatijah, 23; Muhammad Fitri, 20; Muhammad Alif Najmi, 17; Faris Hazwan, 15, dan Nurul Khalesya, 7, terselamat.

Suzaini ditemui hari ini di rumahnya ketika menerima sumbangan Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) yang disampaikan Pengarang Eksekutif Komersial Harian Metro, Husain Jahit merangkap Pengerusi Penganjur TKHM 2019.

Hadir sama Pengarang Berita Komersial Harian Metro Noor Azam Abd Aziz dan Ketua Komunikasi Korporat NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi.

Suzaini berkata, ketika kejadian anak ketiganya sedang baring di ruang tamu selepas pulang dari sekolah.

“Alif bingkas bangun apabila terasa bahang sebelum mendapati api marak di hadapan.

“Dia cuba padamkan api itu dan pada masa sama jiran menyedari kejadian menghubungi bomba,” katanya yang masih belum dapat menganggarkan kerugian serta punca kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 12:46 PM