Nor Amalina Alias

BUKAN sahaja menceroboh perairan negara,malah nelayan Vietnam turut berlagak ‘samseng di laut’ apabila cuba agresif melawan pihak penguatkuasa.

Itu situasi dialami Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam operasi menahan dua bot C2 apabila terpaksa bergelut selama empat jam sebelum berjaya menangkap 21 nelayan termasuk dua tekong bot bersama 19 awak-awak masing-masing dalam jarak 92 batu nautika dan 97 batu nautika dari Kuala Tok Bali.

Bagaimanapun, hasil kecekapan anggota APMM, dua bot berkenaan berjaya ditahan dengan nilai rampasan RM1.5 juta membabitkan nilai bot, peralatan menangkap ikan, ikan pelbagai spesis seberat 1.05 tan dan sotong kering seberat 60 kilogram.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, nelayan yang ditangkap berusia antara 17 hingga 55 tahun dan ditahan pada 1.12 tengah haridan 2.40 petang, Selasa lalu.

Katanya, operasi dibuat dengan Kapal Maritim Pekan (KM Pekan) yang diketuai Pegawai Memerintah, Kapten Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik.

“Kita mengambil masa selama empat jam kerana nelayan di bot kedua bertindak agresif dengan melanggar bahagian sisi kapal penguatkuasa.

“Malah mereka juga bertindak menjatuhkan tali dan pukat ke dalam air bagi menyekat pergerakan kapal dan melakukan pergerakan berbahaya sehingga akhirnya tersangkut di bahagian sisi kapal dan anggota segera melaksanakan penggeledahan,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di Perkarangan Pejabat APMM Tok Bali, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut bagi bot pertama tekong dan kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah manakala bagi bot kedua, hanya empat daripada 18 kru mempunyai dokumen pengenalan diri termasuk tekong bot.

“Pemeriksaan juga mendapati bot kedua telah disyaki membuang alat navigasi Sistem Pengesanan Global (GPS) ke laut untuk menghilangkan bukti kedudukan bot dalam perairan Malaysia,” katanya.

Katanya, dua bot berkenaan bersama tekong dan awak-awak dibawa masuk ke Jeti Maritim Malaysia Negeri Kelantan di Tok Bali untuk siasatan lanjut dan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

Beliau berkata, tangkapan itu menjadikan keseluruhan Op Naga berjumlah 62 tangkapan dengan 49 daripadanya adalah bot nelayan asing Vietnam, dua bot nelayan Thailand dan 11 bot nelayan tempatan dalam tempoh 79 hari operasi dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 2:49 PM
ISMAIL (dua kiri) bersama pegawai memeriksa 21 nelayan asing Vietnam yang ditahan bersama dua bot 97 batu nautika dari Kuala Tok Bali. FOTO Nik Abdullah Nik Omar