Belakang badan remaja lelaki yang dipukul dengan paip getah Rabu lalu. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


REMAJA berusia 13 tahun dibelasah tiga lelaki selepas dia dicekup ketika menceroboh masuk kedai runcit di Simpang Empat, Balik Pulau, Rabu lalu.

Remaja itu kemudiannya diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Balik Pulau dalam keadaan tangan bergari untuk mendapatkan rawatan selepas belakang badannya berbirat akibat dipukul dengan paip getah.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, dalam kejadian 4.15 pagi itu, pemilik kedai runcit itu terdengar bunyi bising di luar premis sebelum melihat remaja lelaki terbabit cuba masuk melalui bumbung kedainya.

“Pemilik kedai berjaya menahan remaja itu yang kemudian memberitahu beberapa lagi rakannya turut bersama menceroboh premis itu namun mereka sempat melarikan diri.

“Remaja itu kemudian diserahkan kepada polis dan terpaksa dibawa ke hospital kerana mengalami kecederaan badan dipercayai akibat dipukul ketika dicekup sebelum itu,” katanya.

Anbalagan berkata, siasatan lanjut mendapati remaja itu sudah dibuang sekolah dan dia bersama lima lagi rakannya yang masih bebas cuba menceroboh kedai runcit berkenaan.

“Beberapa hari sebelum itu, seorang daripada rakan remaja terbabit berjaya menceroboh kedai runcit itu dan mengambil rokok serta kad tambah nilai prabayar.

“Bagaimanapun, cubaan mereka untuk sekali lagi menceroboh premis terbabit gagal apabila pemiliknya menyedari perbuatan itu,” katanya.

Menurutnya, ibu kepada remaja terbabit turut membuat laporan polis selepas tidak berpuas hati apabila melihat keadaan anaknya yang dipukul selepas dicekup pemilik kedai.

“Setakat ini, siasatan mendapati remaja itu dipukul tiga lelaki dipercayai menggunakan paip getah di luar kedai runcit.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 324 KK,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 3:53 PM