Muhammad Irfan Haziq menunjukkan replika rumah lidi dan gazebo batang ais krim yang dibuatnya. FOTO Ihsan Nur Fadillah Kamaruzani
Muhammad Irfan Haziq menunjukkan replika rumah lidi dan gazebo batang ais krim yang dibuatnya. FOTO Ihsan Nur Fadillah Kamaruzani


“SAYA bercita-cita menjadi arkitek kerana saya memang minat dengan senibina,” kata Muhammad Irfan Haziq Shukor.

Kisah Muhammad Irfan Haziq tular di media sosial apabila dia mencuri perhatian netizen berikutan mampu menghasilkan replika rumah lidi, walaupun usianya baru 10 tahun.

Menurutnya, dia mendapat idea membina rumah replika itu selepas menontonnya di laman Youtube pada Disember lalu.

“Ketika itu saya dalam pantang berikutan sunat. Jadi saya banyak menghabiskan menonton video berkenaan senibina di telefon bimbit ayah.

“Saya kemudian ternampak ada video orang membuat rumah replika dengan lidi.

“Dari situ saya belajar dan meminta ayah membelikan peralatan bagi membina rumah replika ini,” katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tanjung Batu, Pekan, Pahang.

Sementara itu, ibu Muhammad Irfan Haziq, Nur Fadillah Kamaruzani, 32 berkata, dia tidak menyangka kisah anaknya itu tular di media sosial.

“Haziq mula membina rumah replika itu Disember lalu. Cuma dia baru saja siapkannya bulan lalu berikutan sibuk dengan aktiviti sekolah.

“Mula-mula saya marah juga sebab dia membuat sepah dengan lidi itu namun tersenyum selepas melihat hasil rumah replika itu.

“Dari kecil dia memang menunjukkan minat dalam bidang senibina. Jadi saya dan suami hanya mampu memberikan sokongan kepada minatnya itu,” katanya.

Katanya, selain replika rumah lidi anaknya itu membuat replika gazebo menggunakan batang ais krim dan sedang dalam perancangan membuat rumah panjang.

Dia yang menetap di Taman Agropolitan Kampung Tanjung Batu, Nenasi Pekan, Pahang berkata, semua barangan yang diperlukan anaknya itu hanya dibeli di kedai RM2.00.

“Dekat sini kami mengalami kesukaran untuk mendapat barang yang diperlukan Haziq berikutan rumah kami terletak di tepi laut dan agak jauh ke pekan Rompin.

“Oleh itu, sebulan sekali memang saya dan suami bawa anak-anak ke kedai itu yang mengambil masa perjalanan satu jam membeli barang yang diperlukan Haziq,” kata ibu kepada dua orang anak ini.

Terdahulu, bapa saudara Muhammad Irfan Haziq iaitu Mohamad Fazlan Kamaruzaman, 23, memuat naik gambar rumah replika diperbuat dari lidi yang dibuat anak saudaranya.

Status itu kemudiannya tular dan mendapat maklum balas dengan 253 komen, 25,300 ‘retweet’ dan 22,700 tanda suka daripada netizen sejak 11 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 4:37 PM