Mohd Husni Mohd Noor


MESYUARAT jemaah menteri, hari ini memutuskan untuk memberi tempoh tiga bulan lagi kepada pemandu e-hailing supaya melengkapkan syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi perkhidmatan itu.

Ini bermakna semua pemandu e-hailing yang belum memenuhi keperluan berkenaan dibenarkan untuk beroperasi selama tiga bulan bermula, hari ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, kementerian menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil pendekatan penguatkuasaan secara mendidik dan dilakukan secara berperingkat.

Katanya, sepanjang tempoh itu, mana-mana pemandu yang memandu tanpa lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) atau tidak penuhi syarat akan diberi nasihat, pendidikan dan amaran akhir supaya patuh.

“Tempoh moratorium selama setahun diberikan kepada pemandu e-hailing untuk melengkapkan syarat e-hailing berakhir semalam. Ini bermakna penguatkuasaan perkhidmatan juga bermula bermula hari ini.

“Saya ingin tegaskan bahawa penguatkuasaan tetap berjalan dan tiada penangguhan, tapi saya arahkan kepada JPJ supaya memberi nasihat, pendidikan dan amaran akhir kepada pemandu e-hailing yang belum lengkapkan syarat serta peraturan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ditanya sama ada tiga bulan mencukupi untuk pemandu e-hailing melengkapkan syarat dan peraturan, Loke berkata, pihaknya sudah memberi tempoh yang mencukupi kepada pemandu berkenaan.

“Jika you (kamu) tanya mereka, tiga tahun pun tidak cukup. Jadi tidak ada isu cukup masa atau tidak. Soalnya kenapa buat last minit (saat akhir). Kita sudah bagi masa yang cukup. Jadi saya harap tiada lagi alasan dari mana-mana pihak,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, seramai 22,981 orang sudah lulus ujian PSV dan sehingga semalam, 31 syarikat Perniagaan Penghantaran (EHO) diluluskan untuk mendapatkan Lesen Perniagaan Penghantaran (LPP) dari Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Dalam pada itu, Loke menasihati EHO supaya mematuhi kadar komisen yang dikenakan kepada pemandu e-hailing iaitu maksimum 20 peratus manakala, kadar komisen kepada pemandu teksi yang beroperasi melalui aplikasi e-hailing adalah maksimum 10 peratus sahaja.

Ketika ditanya mengenai pihak yang mengambil kesempatan menawarkan lesen PSV melalui ‘pintu belakang’, Loke berkata, beliau meminta dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana membabitkan isu integriti.

Berita berkaitan

Tempoh moratorium e-hailing tak dilanjut

Pengguna Grab berdepan kesukaran

Dilema pemandu Grab belum dapat PSV

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 6:18 PM
SEBAHAGIAN pemandu e-hailing beratur untuk memohon lesen PSV dan Permit Kenderaan E-Hailing (EVP) di Petaling Jaya, hari ini. FOTO Azhar Ramli.