BERNAMA

ISTERI Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-93 hari ini dengan alunan gesekan biolanya untuk acara amal pada Minum Petang Amal Yayasan Universiti Multimedia (YUM).

Kelunakan gesekan biolanya membawa lagu Secret Garden-The Things You Are To Me, Gubahanku dan Terkenang-kenang memukau kira-kira 450 tetamu dalam persembahan yang berlangsung 15 minit di Dataran Multimedia University (MMU) di Cyberjaya.

Sebelum mempersembahkan lagu keroncong Terkenang-kenang, beliau berkata, ia adalah sebuah lagu lama dan sepanjang masa yang dinyanyikan oleh Kartina Dahari dan beliau mainkannya dengan sepenuh hati.

Selepas persembahannya itu, sebiji kek dipersembahkan kepada beliau dan semua hadirin mengalunkan lagu ‘Happy Birthday’ kepadanya.

Di majlis itu, Dr Siti Hasmah juga melancarkan Dana Anugerah Pengetahuan YUM, satu platform bagi mendapatkan lebih banyak lagi dana anugerah daripada individu dermawan dan syarikat korporat.

Ketika berucap, Dr Siti Hasmah yang hampir menitiskan air mata dengan sambutan sebegitu rupa berkata, beliau berasa dihormati dan terharu dengan para dermawan pada majlis amal YUM itu.


Dr Siti Hasmah mengesek biola di Majlis Minum Petang Amal YUM di Cyberjaya, hari ini. Foto Mohd Fadli Hamzah

Mengimbau kembali saat-saat menjadi Canselor MMU yang pertama selama 15 tahun dari 1997 hingga 2012, beliau berkata, agak terperanjat selepas pertama kali dipilih sebagai canselor.

“Saya agak terperanjat kerana saya tidak tahu apa-apa mengenai Teknologi Maklumat (IT). Malah saya tidak faham mengenai IT dan dijadikan pula sebagai canselor,” katanya.

Beliau berkata, kini pelajar di MMU diambil bekerja ‘di mana-mana di seluruh dunia’ dan mereka adalah ‘permata dunia’.

“Setiap kali ke luar negara akan ada seseorang yang menghampiri dan berkata, Tun, saya dari MMU,” katanya.

Sambil menasihati komuniti MMU agar terus bekerja kuat tanpa mengenal penat, beliau secara berjenaka berkata, umur bersara ialah 95 tahun.

Di majlis itu juga, penyanyi Adibah Noor turut mengalunkan lagu Wind Beneath My Wings yang juga lagu kegemaran Dr Siti Hasmah.

Adibah juga memuji Dr Siti Hasmah kerana sanggup hadir beberapa jam semalam untuk latihan bagi majlis hari ini.

“Ia suatu sifat yang amat terpuji kerana bukan ramai artis sanggup datang latihan. Ini adalah satu contoh baik kepada penghibur yang lain,” katanya lagi.

Menerusi Dana Anugerah Pengetahuan YUM yang dilancarkan oleh Dr Siti Hasmah hari ini, orang ramai boleh membuat sumbangan dan derma yang akan memberi manfaat kepada pelajar dan penyelidik di MMU.

Menurut kenyataan MMU yang diedarkan di majlis itu, YUM sudah membantu hampir 4,000 pelajar dari golongan B40 sejak ia didaftarkan pada 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 9:00 PM
Skip this ad x