PENUMPANG menunggu pemandu Grab tiba di pusat beli-belah di ibu negara, hari ini. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD.
PENUMPANG menunggu pemandu Grab tiba di pusat beli-belah di ibu negara, hari ini. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD.
Redzuan Muharam


SYARIKAT pengendali e-hailing, Grab menyambut baik pengumuman dibuat Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berhubung pendekatan ‘soft landing’ diambil bagi pelaksanaan peraturan baru e-hailing yang sepatutnya berkuat kuasa mulai hari ini.

Grab menerusi satu kenyataan berkata, keputusan dibuat itu adil untuk semua pihak terutama pemandu dan pengguna perkhidmatan berkenaan.

“Dalam tempoh beberapa jam hari ini, kami (Grab) mengalami penurunan 20 peratus membabitkan bilangan pemandu di jalan raya.

“Keadaan itu memberi kesukaran kepada penumpang yang mahu mendapatkan perkhidmatan dan kehilangan pendapatan dalam kalangan pemandu.

"Kami mengalukan keputusan daripada menteri dan ini menyangkal dakwaan segelintir pihak yang mendakwa pemandu kami sengaja memberi alasan serta membuat permohonan pada saat akhir walaupun diberi masa 12 bulan untuk menyelesaikan proses permohonan lesen tersebut.

"Walaubagaimanapun, beberapa syarat yang perlu dipenuhi seperti latihan dan ujian hanya dilaksanakan secara rasmi tiga bulan lalu, sementara beberapa perkara lain seperti pelekat e-hailing hanya dikongsi dengan pengendali atau syarikat e-hailing pada minggu lalu,” menurut kenyataan itu.

Grab menjelaskan syarikat itu kini akan memberi tumpuan bagi menyelesaikan dan menangani pelbagai isu berkaitan.

“Sejak bermulanya pelbagai proses dari pertengahan April, kebanyakan tenaga kerja kami lebih tertumpu dalam menyelesaikan soal berkaitan kekangan kapasiti termasuk mengatur dewan peperiksaan besar untuk mengelak kepadatan di sekolah memandu dan menyelaraskan permohonan PSV bagi diserahkan kepada JPJ untuk diproses.

“Dalam tempoh tiga bulan akan datang, kami komited untuk terus membangunkan program seperti ‘Pakej Pikul Bersama’ yang dirancang bagi membantu pemandu mengurangkan kos serta masa memenuhi pelbagai keperluan pengawal seliaan.

“Ia sesuatu yang mencabar dalam tempoh beberapa lalu terutama kepada pemandu dan pihak berkuasa yang menunjukkan daya tahan serta kesabaran tinggi dalam proses pengawal seliaan tidak pernah berlaku sebelum ini, ” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan Grab percaya bahawa usaha berterusan semua pihak mampu mengukuhkan tekad untuk meningkatkan akses kepada pengangkutan selamat selain mewujudkan peluang pendapatan menerusi ekonomi digital.

Terdahulu, Anthony Loke mengumumkan Jemaah Menteri memutuskan untuk memberi tempoh tiga bulan lagi kepada pemandu e-hailing yang belum memiliki Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) supaya melengkapkan syarat dan peraturan ditetapkan bagi perkhidmatan itu.

Berita berkaitan

Pemandu e-hailing diberi tempoh tiga bulan lagi [METROTV]

'Tunggu lama dapatkan kenderaan e-hailing'

'Dilema pemandu Grab belum dapat PSV'

'Pengguna Grab berdepan kesukaran'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 10:42 PM