KUALITI udara mendapati keadaan bertambah baik. FOTO arkib NSTP


PEJABAT Daerah Johor Bahru menubuhkan Unit Bantuan Segera Kecemasan bagi menangani isu sesak nafas, muntah-muntah dan pening kepala di Pasir Gudang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, disebabkan situasi di Pasir Gudang bertambah baik, Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah mengumumkan penutupan operasi Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Tingkat 4, Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) berkuatkuasa 12 tengah hari, Khamis lalu.

“Pada masa sana, Mohammed Ridha mengaktifkan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Kesejahteraan Pasir Gudang bermula minggu depan.

“Selain itu, Unit Bantuan Segera Kecemasan ditubuhkan bagi membolehkan bantuan segera diberikan sekiranya insiden sesak nafas, muntah dan pening kepala berulang.

“Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Kesejahteraan Pasir Gudang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurutnya, selain itu, ia terdiri daripada Jabatan Kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Pendidikan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Mohd Khuzzan berkata, sehingga 4 petang semalam, tiada kes muntah-muntah, pening kepala atau sesak nafas dilaporkan di Pasir Gudang.

“Secara keseluruhan pemantauan kualiti udara dilakukan JAS sejak minggu lalu mendapati keadaan bertambah baik dan bacaan kualiti udara adalah normal.

“Sehingga hari ini, pemantauan berterusan JAS mengambil tindakan penjejakan dan penyiasatan ke atas 255 premis (sebelumnya 221 premis) industri bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kesalahan merangkumi buangan terjadual (125 kompaun), efluen perindustrian (10 kompaun) dan sebanyak 59 notis arahan berbanding 53 sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, selain itu, JAS mengeluarkan 11 perintah tahan operasi membabitkan premis industri (kekal), kumbahan (tangki septik) satu kompaun dan syor tindakan mahkamah kekal dengan tiga arahan.

“Kerajaan Negeri ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus dan berkhidmat tanpa mengira masa bagi memastikan insiden ini dapat ditangani dengan sebaiknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 8:33 AM