TUNKU Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melihat tanjak milik almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang pernah dipakai ketika pertabalan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-7. FOTO Farizul Hafiz Awang.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz dan Shahrinnahar Latib


“SAYA datang sini nak makan sahaja,” seloroh Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebaik melihat wajah terkejut petugas media di Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan, hari ini.

Media berada di muzium itu untuk sesi temu ramah rakan dan sahabat baik baginda, namun tidak dimaklumkan mengenai keberangkatan baginda yang tiba kira-kira jam 12 tengah hari.

Temu ramah berkenaan diaturkan sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai ini.

Baginda yang memakai baju kurung dan tudung berwarna putih kemudiannya berjumpa Pengarah Muzium Pahang, Datuk Farid Abdul Jalal.

Tunku Azizah Aminah Maimumah kemudiannya menunjukkan kepada Farid sebahagian koleksi Istana Pahang.


TUNKU Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menunjukkan koleksi peribadi Istana Pahang. FOTO Farizul Hafiz Awang.

Baginda juga menunjukkan tanjak milik Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang pernah dipakai ketika pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-7.

“Jika Tuanku Agong (Al-Sultan Abdullah) muat, saya mahu baginda memakainya untuk istiadat pertabalan nanti,” titahnya.

Terdahulu, baginda berangkat ke Istana Abu Bakar untuk melihat koleksi persalinan Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Difahamkan koleksi itu antara yang akan dipamerkan dalam pameran Raja Kita di Istana Negara sempena istiadat pertabalan Al-Sultan Abdullah.

Tunku Azizah Aminah Maimunah kemudiannya bersantap nasi lemak sambil ditemani beberapa rakan baiknya dan baginda sempat berbual dengan petugas media sebelum berangkat pulang ke Kuantan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 2:48 PM