Dadah jenis heroin dan wang tunai yang dirampas daripada dua beranak dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Penerangan, Sekinchan di Sabak Bernam pada 8 Julai lalu. Foto Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


TAKTIK dua beranak yang menjadikan kediaman mereka di Kampung Penerangan, Sekinchan di Sabak Bernam sebagai tempat membungkus serta mengedar dadah terbongkar dalam serbuan polis pada 8 Julai lalu.

Dalam serbuan jam 5.30 petang itu, lelaki berusia 53 tahun didapati sedang leka membungkus dadah dipercayai jenis heroin bersama anak lelakinya yang berusia 23 tahun di ruang tamu kediaman terbabit.

Polis turut menahan tiga rakan lelaki anaknya berusia 18 hingga 23 tahun yang juga sedang membungkus dadah ke dalam paket kecil ketika serbuan dilakukan itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan dan maklumat awam sejak beberapa bulan lalu.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui dua paket besar dan satu paket plastik lut sinar serta tiga keratan penyedut minuman mengandungi dadah jenis heroin seberat 32.06 gram bernilai RM960.

“Alat penimbang, gunting serta wang tunai sebanyak RM11,330 yang diletakkan dalam beg sandang di atas rak televisyen turut dirampas,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini.

Chee Khoon berkata, pemeriksaan lanjut mendapati dua daripada lima suspek yang ditahan itu memiliki rekod lampau berkaitan dadah.

“Hasil ujian air kencing juga mendapati tiga daripada positif dadah,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek itu direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 2:51 PM