NISAN yang digantung di anjung sebuah rumah. FOTO Hassan Omar
Rizanizam Abdul Hamid dan Hassan Omar


PENDUDUK Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina, Alor Gajah, gempar apabila 29 nisan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Jerneh dirosakkan individu tidak bertanggungjawab, semalam.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Jerneh, Jaffar Atan berkata, kejadian disedari seorang anak kariah kampung itu yang pergi ke kubur berkenaan untuk menziarahi pusara ibunya kira-kira 9 pagi semalam.

“Setibanya di situ, lelaki berusia 40-an itu terkejut apabila mendapati 29 nisan dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab dengan bahagian atas nisan dipecahkan selain beberapa darinya turut dicabut.

“Selepas dimaklumkan mengenainya, saya dan beberapa penduduk bergegas ke tempat kejadian. Kami amat kesal dengan situasi ini yang jelas tidak menghormati arwah dan pihak waris,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berikutan itu, Jaffar berkata, dia dan beberapa penduduk kampung segera ke rumah salah seorang penduduk kampung berkenaan yang disyaki bertanggungjawab melakukan perbuatan berkenaan.

“Setibanya di rumahnya, kami terkejut apabila mendapati satu nisan digantung di anjung rumah. Sebelum ini pun, lelaki berusia 60-an itu sering dilihat berada di tanah perkuburan berkenaan untuk memungut durian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan penangkapan seorang lelaki berkaitan kejadian itu.

“Suspek lelaki berusia 60-an ditahan di rumahnya di Kampung Sungai Jerneh, jam 6.45 petang semalam hasil daripada laporan diterima pada jam 12 tengah hari.

“Ujian air kencing mendapati suspek yang tidak bekerja positif dadah jenis morfin.

“Suspek tiada rekod kesalahan lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya.

Pada malam 21 Jun lalu, penduduk Kampung Pasir Putih, Bachang, gempar selepas kira-kira 20 kubur di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin dirosakkan, batu nisannya turut dipecahkan dan dicabut selain dua kubur dibakar individu tidak bertanggungjawab.

Susulan daripada itu, polis menahan seorang lelaki warga Indonesia di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, Bachang kira-kira 5 petang 24 Jun lalu dan direman mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Dua hari kemudian, polis menahan seorang lagi individu bagi membantu siasatan berkaitan kejadian sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 6:53 PM