Dua cedera dalam kemalangan membabitkan bas ekspres dan treler hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Azam Shah Yaacob


PEMANDU dan penumpang bas ekspres mengalami detik cemas apabila bas dinaiki yang berhenti di lorong kecemasan disebabkan rosak dirempuh treler di Kilometer 433.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), 3.40 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, pemandu treler serta seorang penumpang bas cedera manakala pemandu bas ekspres bersama lapan lagi penumpang lain tidak cedera.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Deputi Superintendan Azman Ab Rahman berkata, kejadian berlaku apabila treler tanpa muatan hilang kawalan sebaik menghampiri lokasi.

Katanya, treler itu kemudian merempuh bahagian kanan belakang bas ekspres terbabit yang terlebih dulu berhenti di bahu jalan akibat mengalami kerosakan.

“Treler itu dalam perjalanan dari Sungai Petani menuju ke Shah Alam sebelum pemandunya hilang kawalan.

“Bas ekspres yang membawa 28 penumpang itu baru saja memindahkan 19 penumpangnya menaiki dua bas berbeza dan hanya ada baki sembilan penumpang menunggu di bahu jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu, lelaki yang memandu treler cedera pada bahagian dahi, tangan dan kaki kanan manakala seorang lelaki penumpang bas ekspres cedera terkena serpihan kenderaan ketika pelanggaran berlaku.

“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.

“Treler terbabit mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan dan bas mengalami kerosakan di bahagian kanan belakang yang dilanggar serta bahagian kiri depan bas akibat terkena penghadang besi jalan,” katanya.

Azman berkata, kes diklasifikasikan mengikut Kaedah 10 LN 166/59 kerana gagal mengawal kenderaan dan mengakibatkan kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 10:27 AM