Bot nelayan yang ditahan PPM pada Jumaat malam. FOTO Ihsan PPM
Fardy Bungga


TAK pernah serik!. Sebuah bot nelayan jenis tunda yang baru dibebaskan beberapa hari lalu ditahan semula Jumaat malam selepas dikesan melakukan kesalahan sama.

Dalam operasi bermula 10 malam itu, bot berkenaan sekali lagi didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan pada kedudukan berhampiran pesisir pantai.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, bot yang ditahan semula itu antara dua yang ditahan dalam operasi “Ops Gelora” yang dijalankan di sekitar perairan Kota Kinabalu.

Katanya, ketika ditahan, kedua-dua bot nelayan itu didapati leka menangkap ikan di kawasan perairan Pulau Sepanggar dan Pulau Gaya pada jarak kurang daripada 3 batu nautika dari persisiran pantai.

“Lebih mendukacitakan, salah satu bot yang kita tahan dalam operasi ini adalah bot yang pernah ditahan beberapa hari lalu.

“Bot berkenaan sudah diserah kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut dan kompaun sebelum dibebaskan semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, walaupun baru dibebaskan, juragan bot masih lagi berdegil dan melakukan kesalahan sama menjalankan aktiviti menangkap ikan berdekatan dengan pesisir pantai.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dalam operasi kali ini dianggarkan RM60,300.

“Kita tidak akan berkompromi kerana aktiviti menangkap ikan bot nelayan jenis tunda di pesisir pantai bukan saja merbahaya kepada nelayan kecil tetapi juga merosakkan ekosistem ikan dan batu karang,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Pajeri berkata, semua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke pangkalan Markas Operasi PPM Kota Kinabalu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 10:38 AM