Orang ramai menyerbu durian yang dijual RM10 untuk satu beg plastik. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Orang ramai menyerbu durian yang dijual RM10 untuk satu beg plastik. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


KONSEP isi sampai penuh plastik dengan harga RM10 yang dilakukan penjual durian di Kampung Semat Jal, Tumpat menjadikan gerainya diserbu orang ramai.

Shahmi Azani Mohd Tanazi, 26, turut memperkenalkan sistem kupon bagi mengelakkan pembeli berebut dan berlaku insiden tolak menolak.

Longgokan durian kampung memenuhi perkarangan luar gerai dan menghitung detik 10 pagi, gerai itu diserbu orang ramai yang datang seawal 8 pagi lagi.

Shahmi Azani berkata, 20 tan durian dibekalkan setiap hari yang diperoleh dari negeri lain iaitu Pahang, Pulau Pinang, Johor, Kedah dan Negeri Sembilan.

“Sejak dijual dua minggu lalu, bekalan raja buah itu tidak pernah putus.

“Konsep isi dalam plastik hingga penuh saya perkenalkan bagi memberi peluang kepada orang ramai terutama bagi yang kurang berkemampuan merasa buah durian pada harga mampu milik.

“Apabila menjual (durian) secara longgok dengan harga murah, sudah pasti mendapat sambutan menggalakkan dan orang ramai serbu menyebabkan saya terpaksa menyediakan kupon bagi mengelakkan mereka berebut serta mendatangkan risiko terutama kepada warga emas dan ibu mengandung.

“Enam nombor (pembeli) akan dipanggil serentak dan mereka perlu membayar RM10 terlebih dulu sebelum diberikan plastik dan mula mengisinya sehingga penuh.

“Purata durian yang mampu diisi antara tujuh hingga sembilan biji,” katanya hari ini.

Bukan saja durian kampung, bahagian dalam gerai pula disediakan pelbagai jenis durian yang dijual secara timbang bermula pada harga RM3 sehingga RM25 sekilogram (kg).

Shahmi Azani yang juga ahli Pemburu Buah Group berkata, dia sudah mengusahakan perniagaan itu sejak 11 tahun dan setiap kali musim durian, lokasi itu menjadi tumpuan ramai.

“Jika durian longgok, kebiasaannya habis dijual dalam masa sejam manakala yang timbang pula menjelang petang ‘licin’ diborong dan semua durian ini habis dijual setiap hari,” katanya.

Pembeli, Nor Izati Mohd Fatihi, 32, berkata, sudah dua hari dia datang ke gerai itu dan hari ini baru mendapat kupon bagi membeli durian longgok.

“Semalam saya datang agak lewat dan gagal mendapatkan kupon untuk membeli durian longgok sebaliknya hanya membeli secara timbang dua biji pada harga RM12.

“Hari ini saya datang 8 pagi dan berjaya memperoleh kupon namun hanya mampu membeli satu plastik saja kerana datang dengan motosikal,” katanya sambil menunjukkan durian lapan biji yang diisi dalam plastik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 2:08 PM