Fairuz Zaidan


JABATAN Agama Islam Melaka (JAIM) menggesa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan jawatankuasa masjid meningkatkan lagi aspek keselamatan di tanah perkuburan di negeri ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Datuk Rahimin Bani berkata, ia susulan kejadian 29 nisan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina, Alor Gajah, dirosakkan individu tidak bertanggungjawab, kelmarin.

Malah, beliau berkata JAIM memandang serius kejadian itu lebih-lebih lagi kejadian terbaharu berlaku kurang sebulan selepas masyarakat digemparkan dengan kira-kira 20 kubur di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin, Bachang, dirosakkan, batu nisan turut dipecahkan dan dicabut selain dua kubur dibakar individu tidak bertanggungjawab.

“Kita difahamkan sudah ada tangkapan terhadap suspek kejadian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Jerneh. Kita turut menyeru MPKK dan jawatankuasa masjid beri perhatian kepada keselamatan di tanah perkuburan.

“Pada masa sama, boleh usulkan permohonan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya memasang lampu, papan tanda amaran serta meningkatkan kebersihan tanah kubur atau wakaf ,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Rahimin berkata, suspek kes juga boleh disiasat mengikut tiga pertuduhan iaitu Seksyen 62 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 kerana mempersendakan Agama Islam, Seksyen 80 iaitu mengeluar atau mengalih bahan-bahan batu menyalahi undang-undang serta Seksyen 78 iaitu pendudukan menyalahi undang-undang dan lain-lain atas tanah Majlis.

Semalam, portal berita Harian Metro melaporkan penduduk di Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina, Alor Gajah, gempar apabila 29 nisan di tanah perkuburan kampung itu dirosakkan individu tidak bertanggungjawab.

Kejadian pagi kelmarin disedari seorang anak kariah kampung yang ke kubur untuk menziarahi pusara ibunya kira-kira 9 pagi.

Pada malam 21 Jun lalu, penduduk Kampung Pasir Putih, Bachang, turut gempar selepas kira-kira 20 kubur di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin dirosakkan, batu nisannya turut dipecahkan dan dicabut selain dua kubur dibakar individu tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, tinjauan di tanah perkuburan pagi ini mendapati, beberapa nisan dirosakkan masih kekal sedia kala dan belum dialihkan oleh waris.

Imam Kampung Sungai Jerneh, Mohd Yusof Tamby, 77, berkata semua waris tapak kubur yang terjejas akibat kejadian itu sudah dimaklumkan bagi membolehkan nisan yang rosak dibaiki segera.

“Ini adalah kejadian pertama yang berlaku di tanah perkuburan ini. Semua penduduk terkejut memandangkan suspek tidak pernah menimbulkan sebarang masalah.

“Penduduk dan anak kariah juga akan mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan kubur dalam waktu terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 2:21 PM
MOHD Yusof menunjukkan serpihan batu nisan yang dirosakkan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina. FOTO RASUL AZLI SAMAD