Anggota bomba memadam kebakaran sebuah kilang kimia di Taman Perindustrian Pulau Indah. FOTO Sairien Nafis
Siraj Mohd Zaini dan Ruwaida Md Zain


TINDAKAN pantas dan kecekapan anggota bomba berjaya mengawal kebakaran sebuah kilang bahan kimia di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang daripada merebak ke kilang berhampiran.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.58 petang semalam dan sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada 1 pagi dan padam sepenuhnya dua jam kemudian.

“Kebakaran pada awalnya hanya membabitkan sebuah kilang saja namun merebak ke kilang bersebelahan serta kilang kitar semula di belakangnya.

“Ketika memadamkan kebakaran, kami bimbang berikutan pemilik kilang bersebelahan memaklumkan ada tangki minyak dalam premisnya.

“Namun tindakan pantas kami berjaya kawal supaya tidak merebak ke kawasan kilang lain,” katanya.

Hafisham berkata, 50 pegawai dan anggota termasuk Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) terbabit dalam operasi itu.

“HAZMAT dipanggil memandangkan kilang itu berkaitan kimia dan kami dapat maklumat mengenai bau bahan kimia.

“Kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke kilang bersebelahan yang menyimpan minyak kenderaan, kilang cat serta bahan mudah terbakar.

“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang terbabit dalam operasi itu adalah BBP Pelabuhan Klang; BBP Andalas; BBP Sungai Pinang; BBP Telok Panglima Garang; BBP Rawang; BBP Kota Anggerik dan BBP KLIA serta bantuan lori tangki air dari Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran belum dapat dikenalpasti.

Pada 5 Julai lalu kilang memproses racun rumpai di kawasan perindustrian sama musnah dalam kebakaran.

Dalam kejadian itu, tujuh anggota bomba cedera ketika memadamkan kebakaran.

Ia kebakaran ketiga berlaku di kawasan sama dalam bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 3:16 PM