POLIS menunjukkan rokok seludup yang berjaya dirampas di Tanjung Kelisa, Bandar Penawar, Johor Bahru. FOTO IHSAN PPM


SINDIKET menyeludup rokok dari negara jiran bukan sahaja memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat pendaratan di Tanjung Kelisa, Bandar Penawar, Johor Bahru, malah sanggup mengeluarkan modal memasang zink di pintu pagar masuk jalan merah manakala kawasan sekitar turut dipagar menggunakan wayar.

Difahamkan, jarak antara pintu pagar dan kawasan pendaratan rokok seludup sejauh kira-kira 1.5 kilometer (km) dan sindiket berkenaan dikatakan memasang zink setinggi hampir tiga meter bertujuan menyukarkan pihak berkuasa melakukan serbuan.

Bagaimanapun, helah itu terbongkar apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Johor bertindak memanjat pagar zink berkenaan ketika serbuan pagi semalam.

Komander PPM Wilayah 2 Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, serbuan jam 5.30 pagi dilakukan hasil intipan pegawai dan anggota Unit Risik Marin (URM) PPM Wilayah 2.

“Unit berkenaan melakukan siasatan termasuk mengunjungi lokasi pernah diserbu sebelum ini, hasil siasatan mereka dapati pintu masuk ke jalan merah di pantai di Tanjung Kelisa, Bandar Penawar yang pernah diserbu akhir tahun lalu dipagar menggunakan zink.

“Inilah lokasi di mana sindiket menggunakan CCTV yang diletak di pokok untuk memantau keadaan sekeliling dan kali ini, pintu masuknya pula dipagar menggunakan zink.

“Berikutan itu, anggota memanjat pagar zink setinggi kira-kira tiga meter dan berjalan hampir 1.5 km ke kawasan pendaratan rokok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui 600 karton rokok putih bernilai RM60,480 (termasuk cukai) dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran.

Katanya, pihaknya percaya ia didalangi sindiket sama dan tindakan berterusan akan dilakukan PPM bagi mematahkan rangkaian pembekalan rokok seludup melalui perairan negara.

Difahamkan, sindiket berkenaan sengaja meletak sebuah kereta rosak di pintu masuk pagar sebagai penghalang bagi menyukarkan pihak berkuasa menggunakan kenderaan memasuki kawasan pantai.

Keadaan ini menyebabkan pasukan PPM terpaksa memanjat zink dan berjalan kaki ke pantai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 5:41 PM