GAMBAR Fadhli yang tular di media sosial selepas dia menggantungkan sampah di gelung tali pinggangnya ketika milih pakaian terpakai di Kundasang, Sabah, Jumaat lalu.


“SAYA tak jumpa tong sampah. Jadi saya sangkutkan sampah di seluar terlebih dulu berikutan mahu memilih baju,” kata Fadhli Tajuddin, 25.

Terdahulu, gambar dia menyangkut bekas minuman di bahagian gelung tali pinggangnya itu menjadi tular di media sosial.

Fadhli berkata, dia tidak tahu gambarnya itu dirakam ketika sedang memilih baju di sebuah gerai pakaian terpakai di Tamu (Pasar Minggu) Kundasang, Sabah, Jumaat lalu.

“Sepupu yang rakam gambar itu tanpa pengetahuan saya dan memuat naik di laman Twitternya.

“Saya hanya mengetahui daripada rakan yang memberitahu gambar saya itu menjadi tular di media sosial sejak semalam.

“Bagi saya perkara itu biasa saja sebab sudah menjadi tanggungjawab untuk kita menjaga kebersihan tidak kira di mana saja kita berada,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Sabah dalam Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran), berkata dia tidak kisah dengan penularan gambarnya itu, namun gembira apabila ia membawa mesej positif.

Fadhli yang turut bergiat aktif dalam aktiviti sukarelawan mengutip sisa buangan di persisiran pantai turut berkata, penyediaan tong sampah di beberapa kawasan di Kundasang agak terhad.

“Jadi saya harap pihak berwajib dapat menyediakan lebih banyak tong sampah supaya orang ramai tidak membuang sampah merata-rata,” katanya yang turut bergiat aktif dalam Kelab Pencipta Alam sejak dari sekolah.

Rata-rata netizen memuji tindakannya itu yang memilih untuk menggantung sampah itu terlebih dulu daripada buang di merata-rata tempat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 7:31 PM