KEADAAN kereta Proton Waja yang terbabit dalam kemalangan dengan penunggang motosikal di Kilometer 11.8, Jalan Lukut-Sepang, Port Dickson, hari ini. FOTO ihsan polis.
Mohd Khidir Zakaria


PEMANDU kereta Proton Waja melarikan diri dan meninggalkan kenderaannya kira-kira 1 kilometer dari lokasi kemalangan selepas merempuh seorang penunggang motosikal hingga maut di Kilometer 11.8, Jalan Lukut- Sepang, di Port Dickson, awal pagi hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian 2.30 pagi itu, pemandu Proton Waja berkenaan dari arah Sepang masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal ditunggang R M Anandan, 28.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan awal dijalankan mendapati pemandu Proton Waja datang dari arah Sepang menghala ke Lukut manakala penunggang motosikal dari arah bertentangan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Proton Waja masuk ke laluan bertentangan dan merempuh penunggang motosikal yang kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati pemandu Proton Waja tiada di lokasi kejadian disyaki melarikan diri sebelum kenderaannya dijumpai ditinggalkan di tepi kedai makan dekat Ambang Kota, Port Dickson, kira-kira 1 kilometer dari lokasi kejadian.

Menurutnya, semakan mendapati kenderaan terbabit didaftarkan atas nama seorang lelaki beralamat di Kampung Baru, Sepang, Selangor.

“Usaha untuk mengesan pemandu Proton Waja sedang giat dijalankan. Justeru itu polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini untuk menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Raja Nor Hafizah Raja Arifin di talian 0135388403.

“Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 11:25 PM