KENDERAAN yang musnah dalam kebakaran. FOTO ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


KENDERAAN jenis Range Rover yang diletakkan di kawasan perumahan Darulaman Heights 2, Jitra musnah dalam kebakaran, 9.50 malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra diketuai Pegawai Bomba Kanan II Safiron Sudin tiba di lokasi bersama dua jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) pada 10.11 malam.

“Setibanya di lokasi, didapati tiada mangsa di dalam kenderaan itu dan operasi pemadaman dilakukan.

“Bagaimanapun api merebak dengan cepat dan menyebabkan kereta itu rentung sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 9:04 AM