NORAZAM (kiri) memeriksa perbarisan kawalan kehormat pada Perhimpunan Bulanan Julai 2019. FOTO Faiz Anuar
Siraj Mohd Zaini


SEMUA kilang khususnya di kawasan perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang, akan diperiksa bagi mengetahui bahan berbahaya dan mudah terbakar jika disimpan di dalam premis berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata ia susulan kejadian kebakaran tiga kilang di kawasan terbabit sejak April lalu.

Menurutnya, sebelum ini JBPM tidak mempunyai data lengkap mengenai jumlah bahan kimia yang disimpan di dalam setiap kilang yang beroperasi di negeri ini.

“Bahan kimia yang terbakar akan mendatangkan pencemaran berbahaya dan kesan jangka panjang kepada penduduk setempat.

“Oleh sebab pihak bomba tidak mempunyai senarai kilang yang mengendalikan bahan kimia, perkara ini perlu disemak untuk kepentingan semua,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Van Jenazah dan Perhimpunan Bulanan JBPM Selangor di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Klang, hari ini.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ menyumbangkan van jenazah kepada pihak bomba Selangor.

Mengulas lanjut, Norazam berkata, sehingga Jun tahun ini, 39 kebakaran kilang dilaporkan berlaku di seluruh negeri ini.

Katanya, 11 daripadanya berlaku di kawasan perindustrian di Zon Klang dan ia tidak termasuk dua kebakaran kilang kimia yang berlaku pada bulan ini.

“Dengan adanya pemeriksaan ini, pihak bomba dapat mengetahui jenis bahan kimia yang ada serta cara menangani kebakaran memandangkan setiap bahan terdapat cara berbeza untuk dipadamkan.

“Jika tersalah cara, kebakaran akan menjadi lebuh buruk sekaligus memberi kesan kepada anggota bomba yang sedang menjalankan operasi pemadaman.

Pada 5 Julai lalu, kilang di Pulau Indah yang menyimpan racun rumpai terbakar dan dalam kejadian itu bomba menyelamatkan 1.5 tan tong gas ammonia bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.

Kelmarin, sebuah kilang kimia di kawasan sama terbakar namun tindakan pantas anggota bomba berjaya mengelakkan kebakaran merebak ke premis berhampiran.

Berita berkaitan:

  • Siasat kilang simpan gas ammonia
  • Kebakaran bongkar simpanan 1.5 tan ammonia
  • Memang fikir mati dah..
  • 7 bomba cedera
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 1:15 PM