X
KKM merampas ubat kuat lelaki, Soloco Candy yang dikesan mengandungi racun berjadual Tadafil. FOTO Ihsan KKM
KKM merampas ubat kuat lelaki, Soloco Candy yang dikesan mengandungi racun berjadual Tadafil. FOTO Ihsan KKM
Siraj Mohd Zaini


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) merampas ubat kuat lelaki jenama Soloco Candy yang mengandungi racun berjadual Tadafil bernilai RM510,000 menerusi serbuan di sebuah kilang di Damansara, semalam.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, serbuan dilakukan menerusi Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Selangor selepas menerima maklumat mengenai aktiviti pengilangan produk tidak berdaftar di dalam premis terbabit.

Menurutnya, pihaknya turut merampas kosmetik tidak bernotifikasi dengan nilai anggaran RM124,000 serta beberapa mesin yang digunakan bagi aktiviti berkenaan.

“Semua yang dirampas disiasat mengikut Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952.

“Ia adalah serbuan kali kedua di premis sama dan tindakan lebih tegas akan dilaksanakan pada kali ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

SOLOCO Candy yang mengandungi racun berjadual Tadafil. FOTO Ihsan KKM
SOLOCO Candy yang mengandungi racun berjadual Tadafil. FOTO Ihsan KKM

Beliau berkata, mengikut Akta Jualan Dadah 1952, jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman denda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu.

“Bagi syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000, manakala bagi produk yang dicampur palsu dengan racun, jika sabit kesalahan, individu atau syarikat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai agar tidak membeli sebarang ubat kuat yang tidak berdaftar secara atas talian.

“Ia adalah bagi memastikan produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran mematuhi keperluan undang-undang yang dikuatkuasakan.

“Orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari www.npra.moh.gov.my / ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 2:55 PM