FOTO Hiasan. Foto Arkib NSTP
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjaya mengutip RM6.23 bilion daripada 1.13 juta peminjam sejak 2013 hingga Mei lalu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, mengikut julat usia 20 hingga 29 tahun, 642,410 peminjam sudah membuat bayaran balik berjumlah RM3.33 bilion.

Katanya, RM2.65 bilion pula dikutip daripada peminjam dalam julat usia 30 hingga 39 tahun.

“RM228.44 juta bayaran balik juga berjaya dikutip daripada peminjam dalam julat usia 40 hingga 49 tahun.

“Selain itu, RM16.148 juta dikutip daripada peminjam berusia 50 hingga 59 tahun manakala RM367,234 bayaran balik dikutip daripada 80 peminjam berusia 60 tahun ke atas,” katanya ketika menjawab soalan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) pada sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Shahar sebelum itu bertanyakan perincian pembayaran semula pinjaman PTPTN mengikut pecahan usia dari 2013 hingga Jun tahun ini.

Menurut Maszlee, untuk strategi dan dasar baharu bayaran balik PTPTN, satu Kertas Konsultasi Rakyat (KKR) disediakan serta dipaparkan untuk cadangan pandangan rakyat mulai 16 Mei hingga 13 Jun lalu.

Beliau berkata, dapatan daripada KKR itu akan diperhalusi oleh panel penasihat khas bagi mengenal pasti cadangan terbaik yang akan diguna pakai sebagai mekanisme pembayaran balik PTPTN.

“Ia seterusnya dibentangkan ke jemaah menteri untuk kelulusan Ogos ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 5:36 PM