JABATAN Kecemasan dan Trauma (ETD) di Hospital Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias


BEBERAPA kekangan dihadapi Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) memberi kesan terhadap perkhidmatan rawatan kecemasan yang pantas dan tepat kepada pesakit.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018, rawatan kecemasan dan trauma diberikan kepada semua pesakit walaupun sesetengahnya terpaksa menunggu lama.

“Ini disebabkan peningkatan kedatangan pesakit terutama bagi kes bukan kecemasan dan kekangan dihadapi ETD dari aspek beban tugas yang tinggi, kekurangan peralatan perubatan, ruang terhad dan ketidakupayaan sistem ICT.

“Perkara ini telah memberi kesan terhadap perkhidmatan rawatan kecemasan yang pantas dan tepat kepada pesakit,” demikian kata laporan itu.

Jumlah pesakit ke ETD di semua hospital seluruh Malaysia bagi 2015, 2016 dan 2017 masing-masing adalah 7.94 juta, 8.18 juta dan 8.01 juta orang iaitu antara 38.1 peratus hingga 38.9 peratus daripada jumlah kedatangan pesakit luar ke hospital.

Bagi tempoh sama, jumlah kedatangan pesakit luar ke semua hospital seluruh Malaysia masing-masing adalah seramai 20.57 juta, 21.05 juta dan 20.99 juta orang.

Penemuan utama audit antaranya membabitkan jumlah kedatangan pesakit melebihi ‘level of care’ ditetapkan antara 5.7 hingga 95.6 peratus menyebabkan kesesakan di ETD.

Hanya 58.7 hingga 74.5 peratus pesakit dirawat dalam tempoh kurang dari empat hingga enam jam dan terdapat 917 kes Access Block (pesakit tidak dapat dipindahkan ke wad).

“Indeks Prestasi Utama(KPI) Pusat Koordinasi Perubatan Kecemasan (MECC) bagi kes keutamaan kategori 1 (kes kritikal) tidak mencapai standard ditetapkan.

“Berdasarkan pengiraan ‘Workload Indicators of Staffing Need’ (WISN) 2010, secara keseluruhannya ETD kekurangan perjawatan antara 11.6 hingga 53.1 peratus berbanding bilangan perjawatan diperlukan.

“Kekurangan perjawatan bagi pakar kecemasan adalah antara 75.6hingga 79.5 peratus, pegawai perubatan (41.2 hingga 64.6 peratus), penolong pegawai perubatan (2.6 hingga 33.9 peratus) dan jururawat terlatih (17.4 hingga 67.1 peratus),” katanya.

Menurut laporan itu, bagi mengatasi kelemahan dibangkitkan, beberapa perkara disyorkan antaranya agar Kementerian Kesihatan (KKM) mewujudkan koordinasi dan integrasi di antara hospital, klinik kesihatan awam dan swasta.

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu menimbangkan untuk memberi pengecualian melaksanakan Dasar Mengoptimumkan Sumber Manusia melalui pengurangan saiz perjawatan sebanyak satu peratus kepada KKM.

“Selain itu, KKM perlu diberikan perjawatan tambahan bagi mengatasi masalah kekurangan staf kesihatan termasuk pakar kecemasan berbanding peningkatan beban kerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 6:42 PM