Robiul (kiri) dan Md Faysal sedang dikesna IPD JBS untuk hadir bicara di Mahkamah Tinggi 2, Johor Bahru. Foto Ihsan PDRM
Mohd Sabran Md Sani


IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) sedang mengesan dua warga Bangladesh yang juga saksi perbicaraan berkaitan kes pembunuhan di Mahkamah Tinggi 2, Johor Bahru pada 13 hingga 19 Ogos ini.

Menurut kenyataan IPD JBS, dua warga Bangladesh berkenaan diperlukan untuk hadir perbicaraan membabitkan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang berlaku pada 2017.

Katanya, IPD JBS memohon kerjasama mencari saksi pertama, Robiul, 40, dan mempunyai alamat terakhir di Kilang TF Akasa, Jalan Tembakau 1, Johor.

Kenyataan itu turut memaklumkan saksi kedua, Md Faysal, 34, yang mempunyai alamat terakhir di No 511, Jalan Istimewa 4, Taman Orkid Masai turut dicari.

“Saksi berkenaan diperlukan kerana berada di lokasi kejadian ketika kes itu berlaku.

“Usaha menjejaki mereka sebelum ini tidak berhasil termasuk pencarian di alamat mereka sebelum ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kedua-dua saksi itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Jenayah IPD JBS Asisten Superintendan Zamri Shariff di talian 019-4240480,” kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 7:55 PM