MANGSA (gambar kecil) yang maut dipercayai dilanggar kenderaan ketika melintas jalan di Kilometer 5, Pekan Umbai, Jalan Melaka-Muar. FOTO IHSAN PDRM
Nur Saliawati Salberi


“TIADA perubahan ditunjukkan isteri tetapi ketika kami makan tengah hari semalam, dia agak lain apabila meminta saya duduk dengannya lebih dekat.

“Malah isteri juga lebih berselera menjamu selera. Ternyata semalam kenangan terakhir kami makan bersama dan tiada lagi detik itu selepas ini,” luah Roszainizam Saring, 49, suami kepada mangsa kemalangan maut di Kilometer 5, Pekan Umbai, Jalan Melaka-Muar, Jasin, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi, Sariani Mohd Sharif, 44, maut selepas dipercayai dilanggar kenderaan ketika melintas jalan.

Roszainizam berkata, dia hanya mengetahui kejadian menimpa isterinya selepas pulang daripada bekerja syif malam.

Kata bapa kepada enam anak berusia antara enam hingga 20 tahun itu, sejurus tiba di rumah, dia hairan apabila empat anaknya berusia 15, 14, 11 dan enam tahun berada dalam keadaan sedih dan tidak ke sekolah.

“Ketika itu, adik lelaki turut berada di rumah dan meminta saya bertenang sebelum memberitahu isteri sudah tiada akibat kemalangan.

“Sudah kebiasaan isteri akan keluar rumah awal pagi untuk menghantar kuih ke beberapa kedai sebelum pulang semula dan mengambil anak untuk dihantar ke sekolah,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Jasin.

Menurutnya, walaupun masih terkejut, namun dia reda dengan pemergian isteri tersayang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa sedang melintas jalan.

Beliau berkata, mangsa dipercayai dilanggar sebuah kenderaan tidak dikenal pasti yang datang dari arah Muar, Johor menghala ke Melaka.

“Akibat rempuhan itu, mangsa terbaring di atas jalan dan ketika itu sebuah motosikal Honda EX-5 ditunggang lelaki berusia 25 tahun kebetulan melalui lokasi tidak sempat mengelak lalu terlanggar wanita berkenaan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di dada disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga jam 1.30 tengah, belum ada pemandu kenderaan tampil membuat laporan berkaitan kemalangan itu.

“Polis meminta orang awam yang melihat kejadian tampil membantu siasatan selain kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 10:10 PM