WAN Azharuddin (tengah) menunjukkan barang yang dirampas dalam kegiatan kes pecah rumah di Taman Bidor Botani.
Farah Suhaidah Othman


TAPAH: Polis menahan tiga lelaki berusia antara 23 hingga 38 tahun dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah di tiga daerah di negeri ini sejak beberapa bulan lalu.

Ketiga-tiga suspek termasuk dalang utamanya itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di rumah Taman Bersatu, Bidor, jam 2.50 petang Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, penahanan itu hasil laporan polis yang diterima daripada lelaki berusia 60 tahun memaklumkan rumahnya di Taman Bidor Botani dipecah masuk.

“Selepas risikan, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Taman Bersatu dan menahan ketiga-tiga suspek sebelum menemui pelbagai barangan dipercayai hasil pecah rumah.

“Antara barang yang dirampas termasuk kereta Proton Iriz, tujuh botol arak pelbagai jenama, 10 beg berisi pakaian dan dua komputer riba berjenama serta jam tangan,” katanya pada sidang media di IPD Tapah, semalam.

Wan Azharuddin berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek itu dipercayai menjalankan kegiatan pecah rumah di sekitar Tapah, Sungai Siput dan Ipoh sejak beberapa bulan lalu.

Modus operandi ketiga-tiga suspek itu dengan memecah masuk premis atau rumah yang ditinggalkan tidak berpenghuni dan membawa lari barangan berharga.

“Siasatan lanjut turut mendapati suspek berusia 38 tahun itu dikehendaki polis selepas dipercayai melakukan kegiatan jenayah di beberapa lokasi di negeri ini.

“Suspek juga mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan jenayah serta dadah manakala dua suspek mempunyai satu rekod jenayah membabitkan dadah,” katanya.

Ketiga-tiga suspek direman tujuh hari bermula Jumaat hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 5:30 AM