Farah Suhaidah Othman


KERTAS siasatan kes pembantu rumah warga Indonesia yang mendakwa dirogol EXCO kerajaan negeri sudah diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata, ia diserahkan Ahad lalu untuk penelitian sebelum tindakan lanjut diambil.

Katanya, pihaknya masih menunggu laporan forensik dan perubatan dalam tempoh terdekat ini bagi melengkapkan siasatan itu.

“Kedua-dua laporan itu akan diperoleh dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, tiada unsur berat sebelah dalam siasatan kerana ia berpandukan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang.

“Pendirian kita begini, apabila kita menyiasat sesuatu kes, perlu tangkap suspek terutama sekiranya suspek mengganggu siasatan ataupun mangsa.

“Keduanya, sekiranya suspek atau orang yang didakwa ada kemungkinan melarikan diri, sekiranya tiada, kita tidak perlu menahan.

“Jadi, dalam undang-undang, jaminan perlu diberikan kepada kes yang boleh dijamin, dalam kes ini kita memberi jamin bukan kerana berat sebelah atau dia EXCO, anggapan itu silap,” katanya.

Beliau juga memberitahu pembantu rumah berusia 23 tahun itu masih ditempatkan di rumah perlindungan Kedutaan Indonesia.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Jelapang pada 8 Julai lalu, mendakwa dirinya dirogol oleh EXCO berkenaan di rumah majikannya di Meru.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 11:21 AM
RAZARUDIN pada Perhimpunan Bulanan Peringkat IPK Perak, hari ini. FOTO Abdullah Yusof.
RAZARUDIN pada Perhimpunan Bulanan Peringkat IPK Perak, hari ini. FOTO Abdullah Yusof.