Rizanizam Abdul Hamid


“SAYA sayangkan isteri saya,” kata bekas tentera yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas tuduhan membunuh isterinya di Taman Seri Duyong Fasa 2, Duyong 3 Julai lalu.

Tertuduh, Mahat Jalil, 56 didakwa di hadapan Majistret Teoh Shu Yee mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang menetapkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh diarahkan dihantar ke Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru untuk pemeriksaan kesihatan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu, tertuduh dalam nada sebak mengangguk faham terhadap pertuduhan dan memberitahu mahkamah dia sayangkan isterinya sebelum ditenangkan Teoh.


Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Najwa Nazari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 14 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kesihatan tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh isterinya, Samnah Mohamad, 55, di rumah beralamat 44 Jalan SD2/14, Taman Seri Duyong Fasa 2 pada 10.22 pagi 3 Julai lalu.

Harian Metro 4 Julai lalu melaporkan lelaki menikam isterinya sehingga mati menggunakan pisau pemotong sayur berukuran 23 sentimeter sebelum menikam dirinya sendiri selepas mereka dipercayai bertengkar di rumah mereka di Taman Seri Duyong Fasa 2, Duyong di Melaka.

Dalam kejadian itu mangsa yang juga ibu kepada empat anak maut dengan empat kesan tikaman pada badan manakala suaminya berusia 56 tahun cedera.

Semakan awal polis mendapati, tertuduh turut mempunyai kad rawatan psikiatrik di Hospital Melaka.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Tolong... tolong, jangan... jangan'

'Doakan saya tak takut mati'

Kejamnya kamu suami... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 11:55 AM