WAN Rukman (kiri) menunjukkan rampasan hasil penahanan tiga suspek terbabit jenayah sejak setahun lalu. FOTO Adzlan Sidek.
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS menahan tiga suspek aktif melakukan samun, ragut, pecah rumah dan kereta di Negeri Sembilan, sejak setahun lalu.

Dua lelaki berusia 41 dan 27 tahun dipercayai bersama-sama melakukan 16 kes samun dan ragut, manakala seorang lelaki 42 tahun terbabit lima kes pecah rumah dan kereta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Wan Rukman Wan Hassan berkata, penahanan semua suspek itu dibuat secara berasingan bermula 4 Julai sehingga 9 Julai lalu di sekitar Seremban.

Beliau berkata, kes terbaharu membabitkan seorang wanita berusia 67 tahun yang mendakwa diserang dan dipukul di badan serta kepala menggunakan besi oleh dua lelaki bermotosikal.

Kejadian itu berlaku di Taman Bidara, Rahang, kira-kira 8 pagi, 27 Jun lalu.

“Suspek melarikan beg tangan mangsa mengandungi wang tunai, telefon bimbit dan dokumen peribadi membabitkan kerugian RM2,500.

“Susulan siasatan lanjut membolehkan suspek pertama ditahan di rumah dekat Taman Dusun Nyior, Rahang, pada 3.40 petang, 4 Julai lalu dan merampas motosikal curi dengan nombor plat palsu yang digunakannya.

“Polis turut menemui tiga telefon bimbit, pelbagai jenis beg, wang tunai dan empat paket dadah disyaki heroin serta methamphetamine,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Wan Rukman berkata, susulan penahanan itu, polis menahan seorang lagi suspek di sebuah rumah di Taman Gading, pada 6.45 petang hari sama dan merampas dua motosikal, topi keledar, pelbagai jenis telefon bimbit, wang tunai serta kad pengenalan individu lain disyaki milik mangsa samun.

“Hasil daripada tangkapan kedua-dua suspek itu, kita percaya dapat menyelesaikan 16 kes jenayah samun dan ragut di sekitar negeri ini. Siasatan juga mendapati kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau dan positif dadah,” katanya suspek kini direman mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, Wan Rukman berkata, polis menahan seorang suspek yang disyaki terbabit kes pecah rumah dan cermin kereta susulan penemuan pelbagai jenis peralatan pecah rumah, sarung tangan, beg, telefon bimbit serta empat paket syabu.

Katanya, semua barangan itu ditemui dalam kereta Proton Wira dipandu suspek selepas dia ditahan untuk pemeriksaan polis di hadapan pejabat pos Pekan Rantau pada 2.10 pagi, 9 Julai lalu.

Tambah beliau, siasatan mendapati suspek mempunyai 16 rekod jenayah lampau dan suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 2:14 PM