RAKAMAN tular seorang remaja dibuli lima individu. FOTO IHSAN PEMBACA


POLIS sedang menyiasat lima remaja termasuk seorang pelajar sekolah menengah dipercayai terbabit dalam kes buli terhadap seorang remaja lelaki berusia 13 tahun.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, kes pada 8 Julai lalu itu dilaporkan kepada polis oleh bapa salah seorang suspek yang menyerahkan anaknya kerana dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

Beliau berkata, bapa suspek membuat laporan polis selepas dimaklumkan seorang lagi anaknya berhubung video tular di media sosial menyaksikan mangsa sedang dibuli.

“Video mengenai kejadian buli ini tular dalam media sosial sejak malam tadi. Mangsa dipercayai ditumbuk dan ditendang sekumpulan lima remaja termasuk seorang pelajar sekolah menengah di sini pada 8 Julai lalu.

“Bapa mangsa membuat laporan polis selepas dimaklumkan anaknya selepas video tular dalam aplikasi WhatsApp,” katanya di Miri, hari ini.

Lim berkata, kes itu adalah pertama dilaporkan di Miri tahun ini dan mangsa takut membuat laporan kerana diugut kelima-lima suspek.

Katanya, mangsa sudah dihantar ke Hospital Miri untuk pemeriksaan dan rawatan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 3:25 PM