UNG Su Ling hadir bagi perbicaraan Najib di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Syarafiq Abd Samad.
Murni Wan Omar


BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Su Ling, 51, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, wang berjumlah RM42 juta daripada Ihsan Perdana Sdn bhd (IPSB) dimasukkan ke dalam dua akaun Datuk Seri Najib Razak bukan milik mereka.

Ung berkata, pada September 2014, beliau dimaklumkan oleh arwah Datuk Azlin Alias (Ketua Setiausaha Sulit Najib) bahawa sejumlah wang akan dipindahkan ke dalam akaun bank milik IPSB, namun tidak dinyatakan jumlah dan tarikh.

“Saya biasa ke pejabat beliau (Azlin) untuk hal berkaitan YR1M. Saya hanya dimaklumkan wang itu adalah untuk program tanggungjawab sosial (CSR).

“Beliau meminta bantuan saya untuk memaklumkan perkara itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif IPSB, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman.

“Saya bersetuju untuk membantunya apabila tiba masanya. Pada Disember 2014, Azlin melalui aplikasi pesanan WhatsApp memaklumkan bahawa sejumlah wang sudah dipindahkan ke dalam akaun IPSB tetapi tidak dinyatakan jumlah,” katanya.

Ung berkata, beliau diarahkan untuk memaklumkan kepada Shamsul Anwar supaya memindahkan wang sebanyak RM27 juta dan RM5 juta secara berasingan ke dalam dua akaun di AmBank.

“Nombor dan nama akaun itu turut dimaklumkan kepada saya. Saya tidak simpan pesanan itu kerana sudah memadamkan nombor Azlin selepas kematian beliau.

“Berdasarkan maklumat itu saya menghantar e-mel Shamsul Anwar.

“E-mel itu mengandungi maklumat pindahan wang ke dalam akaun Bank AmIslamic. Transaksi pertama sebanyak RM27 juta dipindahkan ke dalam akaun atas nama AmPrivate Banking-1MY manakala RM5 juta lagi ke dalam akaun atas nama AmPrivate Banking-MY,” katanya.

Saksi ke-49 itu berkata, pada awal Februari 2015, dia dihubungi Azlin melalui aplikasi pesanan WhatsApp dan dimaklumkan sejumlah wang lain sudah dipindahkan ke dalam akaun IPSB.

“Saya tidak dimaklumkan jumlah wang itu, namun diarahkan untuk memaklumkan Shamsul Anwar memindahkan wang sebanyak RM10 juta ke dalam akaun AmBank atas nama AmPrivate Banking 1MY.

“Pada 9 Februari 2015, jam 5.23 petang saya menerima e-mel daripada Aishah Ghazali (ketika itu eksekutif akaun kanan IPSB) memaklumkan borang pemindahan wang sudah disediakan.

“Saya memanjangkan e-mel itu kepada Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping pada hari sama,” katanya.

Ung berkata, e-mel diterima daripada IPSB itu mengandungi borang permohonan kiriman wang Bank Affin bertarikh 9 Februari 2015.

“Borang itu disediakan IPSB dan menunjukkan wang berjumlah RM10 juta daripada akaun Affin Bank milik IPSB ke dalam akaun AmIslamic Bank Berhad atas nama AmPrivate Banking-1MY. Tujuan pindahan wang itu adalah ‘Fund Transfer for CSR Programs’ (Pindahan Wang bagi Program CSR).

“Tujuan saya menghantar e-mel kepada Yu adalah untuk memaklumkan permohonan pindahan wang yang dibuat IPSB adalah selepas 2 petang, oleh itu Bank Affin tidak boleh memproses permohonan itu pada hari sama,” katanya.

Dalam keterangan sebelum ini, akaun AmPrivate Banking-MY dan AmPrivate Banking 1MY disahkan milik Najib.

Azlin adalah antara enam yang terkorban dalam nahas helikopter di Kampung Sungai Pening di Semenyih pada 2015.

Selain Azlin, tragedi itu turut mengorbankan Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, juruterbang, Kapten Clifford Fournier, pembantu operasi, Eidiana Baiziera dan pengawal peribadi Jamaluddin, Mohd Raskan Seran.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 5:23 PM