UNG ketika hadir pada prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Khairul Helmy Mohd Din
Murni Wan Omar


SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa sumber wang salah satu akaun milik Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) adalah daripada Kumpulan Genting.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Su Ling, 51, berkata demikian ketika memberi keterangan dalam prosiding perbicaraan kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, YR1M yang ditubuhkan pada Januari 2013 mempunyai tiga akaun di AmBank Berhad.

“Akaun yang sumber wang daripada Kumpulan Genting adalah untuk pembiayaan projek. Akaun kedua adalah untuk pembiayaan perbelanjaan operasi YR1M.

“Akaun ketiga adalah akaun untuk pembiayaan perbelanjaan projek di mana sumber wang adalah daripada sumber lain,” katanya.

Terdahulu, saksi memberitahu mahkamah bahawa penubuhan YR1M adalah untuk meningkatkan kualiti hidup golongan yang tidak berada dan kurang bernasib baik.

Menurutnya, YR1M mempunyai empat pemegang amanah yang diketuai oleh Perdana Menteri ketika itu dan dianggotai Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, Datuk Wan Shihab Wan Ismail dan arwah Datuk Azlin Alias (Ketua Setiausaha Sulit Najib).

Ung berkata, antara rakan kongsi utama adalah Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Pelajaran Negeri, Kelab Rotary Malaysia dan IPSB (ihsan Perdana Sdn Bhd).

“Kerjasama YR1M bersama syarikat IPSB bermula sejak Januari 2013. Sebelum itu, IPSB adalah rakan kongsi Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Antara contoh kerjasama YR1M dengan IPSB adalah melalui program membaiki rumah, program pemberian bantuan mangsa banjir, program pembekalan air bersih dan program pemberian bantuan kepada Orang Asli dan nelayan,” katanya.

Sementara itu ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, saksi itu memberitahu bahawa selain Kumpulan Genting, YR1M turut menerima sumbangan daripada 1MDB dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bagi melaksanakan program khidmat komunitinya.

Ung berkata, YR1M ada menerima dana berjumlah RM210 juta daripada 1MDB, RM230 juta daripada Genting dan RM3 juta daripada Petronas.

Menjawab soalan Muhammad Shafee, saksi mengakui bahawa beliau pernah bekerja di Wynton Private Equity Group Sdn Bhd pada 2004 hingga 2006 iaitu syarikat milik ahli perniagaan yang menghilangkan diri, Low Taek Jho atau Jho Low.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 6:10 PM