GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


SELANGOR dan Johor mencatatkan jumlah kemalangan maut paling tinggi dengan masing-masing merekodkan 482 kes dalam bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, kedua-dua negeri berkenaan merekodkan sebanyak 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan maut di seluruh negara iaitu 2,862 kes bagi tempoh itu.

“Selangor turut mencatatkan jumlah kemalangan paling tinggi iaitu sebanyak 83,607 kes atau 29.7 peratus daripada 281,527 kemalangan direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.

“Bagi kes kematian pula, Selangor mencatatkan sebanyak 527 kematian atau 17.2 peratus daripada 3,071 jumlah keseluruhan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Azisman berkata, jalan persekutuan merekodkan jumlah kemalangan maut paling tinggi iaitu 862 kes atau 30.1 peratus daripada jumlah keseluruhan dilaporkan pada tempoh itu.

“Jalan negeri pula merekodkan sebanyak 816 kemalangan maut, manakala jalan bandaran (492 kes), jalan ekspres (390 kes) dan lain-lain jalan (302 kes).

“Pengguna motosikal adalah ramai terbabit dalam kemalangan maut iaitu sebanyak 1,984 kes diikuti pengguna kereta (580 kes) dan pejalan kaki (220 kes),” katanya.

Beliau berkata, jumlah kemalangan yang direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun lalu mencatatkan peningkatan berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

“Pada tahun ini, sebanyak 281,527 kemalangan dilaporkan berbanding 274,556 kes direkodkan pada tempoh sama tahun lalu yang menyaksikan peningkatan 6,971 kes atau 2.5 peratus.

“Bagi kemalangan maut pula, jumlah direkodkan menurun pada tahun ini iaitu sebanyak 208 kes kepada 3,071 kes berbanding 3,279 kes pada tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, jumlah kemalangan tinggi yang direkodkan setiap tahun didorong dengan lambakan laporan kemalangan kecil yang tidak membabitkan sebarang individu maut atau cedera.

“Jika dilihat pada jumlah kemalangan tinggi yang dilaporkan ini membabitkan kira-kira 30 hingga 40 peratus kes kemalangan kecil yang dilakukan untuk tujuan menuntut insurans.

“Saya mencadangkan pihak berkaitan seperti Kementerian Pengangkutan dan syarikat insurans termasuk polis sendiri supaya berbincang mengenai kaedah terbaik boleh diambil bagi mewujudkan mekanisme terbaik membuat tuntutan insurans bagi kes kemalangan kecil tanpa perlu membuat laporan polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 7:36 PM