Suraya Roslan


HAMPIR 40 peratus daripada 1,000 rumah yang diperiksa di sekitar Selangor terpesong arah kiblat antara satu hingga tiga darjah.

Timbalan Setiausaha Persatuan Falak Negeri Selangor Sukiman Sangat berkata, kebanyakan penduduk menggunakan kedudukan masjid sebagai panduan kiblat dan kaedah itu sebenarnya kurang tepat.

“Penentuan arah kiblat yang berlaku dua kali setahun hari ini membantu orang ramai membuat semakan dan mengesahkan arah kiblat mereka.

“Ini berlaku berikutan kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah dan berlaku setiap 28 Mei dan 16 Julai setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, satu darjah arah kiblat terpesong bersamaan 125 kilometer jauh daripada Kaabah.

“Saya pernah memeriksa sebuah rumah, arah kiblatnya terpesong sehingga 45 darjah, bayangkan satu isi rumah perlu menggantikan solat mereka.


IMAM 2, Muhammad Al Nawawi Borhan (dua kanan) bersama jemaah masjid memeriksa arah kiblat menggunakan kayu yang dipacak tegak pada 5:28 petang di perkarangan Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara. FOTO Zunnur Al Shafiq

“Jika ikut fatwa kebangsaan arah kiblat tidak boleh terpesong melebihi tiga darjah,” katanya.

Sukiman berkata, pihaknya tidak dapat melakukan penentuan arah kiblat hari ini berikutan cuaca mendung.

“Sebelum ini (28 Mei) juga sama, cuaca mendung menyebabkan bayang matahari tidak muncul,” katanya.

Katanya, hari ini objek tegak di seluruh dunia akan menghasilkan bayang-bayang mengadap kiblat kecuali tiga benua iaitu Amerika Utara, Amerika Selatan dan Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 7:55 PM