NURUL Hasnie (kiri) bersama W Hassan dan Siti Zabidah ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji KLIA, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Nor Akmar Samudin


NURUL Hasnie Hassiza W Hassan, 35, bersyukur dapat mengerjakan fardu haji ‘41 tahun lebih awal’ daripada jangkaan Tabung Haji (TH) apabila diberi rezeki mengiringi ibu bapanya ke Makkah, tahun ini.

Mereka tiga beranak berangkat mengerjakan rukun Islam kelima itu pada penerbangan yang ke-26, 3 petang hari ini.

Nurul Hassiza berkata, beliau mendaftar untuk pergi menunaikan haji tiga tahun lalu dan menurut TH, gilirannya adalah pada 2060.

“Saya memang tidak menjangka sama sekali pemergian saya ke Makkah ‘dipercepatkan’ kerana menemani ibu bapa yang dapat pergi haji tahun ini.

“Ia adalah adalah rezeki tidak diduga sama sekali,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji KLIA, Sepang sejurus sebelum mereka berangkat.

Nurul Hasnie yang masih bujang perlu menemani kedua orang tuanya, W Hassan H Hamzah, 65, dan Siti Zabidah Mat Noor, 63, kerana dalam keadaan ibunya yang sakit lutut dan dia bimbang jika membiarkan mereka berdua saja.

Menurutnya, mereka berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan bapanya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Beberapa minggu sebelum ini, keadaan penyakitnya stabil kerana ayah patuh kepada nasihat doktor dengan melakukan senaman ringan seperti berjalan di sekitar rumah dan mengambil ubat mengikut jadual.

“Keadaan lutut ibu semakin pulih, namun untuk pergerakan jauh dan lama seperti mengerjakan tawaf dan saie, ibu perlu menggunakan kerusi roda.

“Syukur saya dapat mengiringi mereka ke sana. Dalam situasi semua bakal jemaah fokus beribadah di sana, saya tidak boleh meletakkan tanggungjawab menjaga ibu ayah kepada orang lain. Lagipun, sebagai anak saya lebih memahami keperluan mereka,” katanya.

Nurul Hasnie berkata, jadual penerbangan haji tahun ini kebetulan ketika dia sedang bercuti semester daripada pengajiannya di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

“Alhamdulillah Allah SWT memudahkan perjalanan saya untuk mengerjakan fardu haji.

“Kami akan berada di sana selama 43 hari dan kembali ke tanah air pada 27 Ogos depan,” katanya.

Sementara itu, W Hassan berkata, beliau sangat bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik.

Katanya, penyakit kencing manis dan darah tingginya kini stabil selepas mengambil ubat seperti dijadualkan doktor.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 9:23 PM